Agensi
LOKASI kejadian kecoh apabila Suwat (terbaring) maut selepas bertengkar dengan kekasih gelap isterinya. FOTO Agensi.
Bangkok: Tragisnya kisah cinta tiga segi apabila seorang lelaki maut selepas bergaduh dengan kekasih gelap isterinya di hadapan balai polis di wilayah Nonthaburi dekat sini pada malam Rabu.
Portal Thaiger melaporkan, mangsa yang berusia 41 tahun bernama Suwat membawa isterinya, Bee, 30, dan orang ketiga, Wichai Phatyen, 35, ke Balai Polis Bang Mae Nang di Nonthaburi pada petang 15 Mac untuk menyelesaikan masalah hubungan mereka.
Seorang pegawai memberikan beberapa cadangan kepada ketiga-tiga mereka untuk berdamai malangnya nasihat itu gagal menyelesaikan keadaan.
Sebaliknya, Suwat dan Wichai bertengkar di hadapan balai polis dan pergaduhan semakin teruk apabila Suwat dipukul dengan kuat oleh Wichai menyebabkan dia jatuh kemudiannya tidak sedarkan diri.
Pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan memberikan Suwat bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) selama lebih 20 minit tetapi usaha mereka gagal menyelamatkan nyawanya.
Polis melaporkan isteri Suwat, Bee sudah lama menjalin hubungan sulit dengan Wichai.
Pada malam kejadian, Suwat pergi ke rumah Wichai untuk mendesak Bee pulang ke rumah tetapi gagal mencapai kata sepakat hingga mereka memutuskan untuk pergi ke balai polis bagi menyelesaikan masalah
Ibu Wichai, Wan yang berusia 49 tahun ketika memberitahu media tempatan mendedahkan yang Bee kerap bertemu anaknya di rumah keluarga mereka.
Wan tahu Bee mempunyai suami dan seorang anak jadi cuba meyakinkan wanita berkenaan untuk memutuskan hubungan dengan Wichai beberapa kali, tetapi tidak berjaya.
Tambah Wan, Wichai juga cuba untuk menghentikan hubungan itu tetapi Bee tetap melawatnya dan tinggal bersama Wichai lebih lama.
"Anak saya bukanlah seorang yang jahat. Dia seorang yang rajin dan fokus kepada kerja untuk membayar keretanya. Satu-satunya tabiat buruknya adalah minum alkohol.
"Saya tak tahu nak buat apa sekarang. Saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyelamatkannya," katanya.
Berikutan kesalahan dilakukan, Wichai didakwa mengikut Seksyen 209 Undang-undang Jenayah atas pertuduhan menyebabkan kematian orang lain secara tidak sengaja melalui keganasan fizikal.
Jika sabit kesalahan, Wichai boleh dihukum penjara tiga hingga lima tahun atas perbuatannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan