"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya lapar, ibu sudah mati'

AFP

Bogotá: "Saya lapar" dan "ibu saya sudah mati" adalah perkataan pertama yang diucapkan oleh empat kanak-kanak yang hilang selama 40 hari di hutan Colombia apabila mereka ditemui, kata anggota kumpulan penyelamat dalam satu temu bual televisyen pada Ahad.

Selepas mengembara sendirian selama lebih sebulan, kanak-kanak Orang Asli Huitoto - berumur 13, sembilan, lima, dan satu - diselamatkan dan dibawa keluar dari Amazon pada hari Jumaat, dan pulih dua hari kemudian di hospital tentera di ibu negara Bogota.

Ditemu bual pada Ahad di saluran siaran awam RTVC, ahli kumpulan awal untuk mencari kanak-kanak itu yang terdiri daripada penduduk Orang Asli, menceritakan detik pertama selepas bertemu kanak-kanak itu.

"Anak perempuan sulung, Lesly, dengan si kecil dalam pelukannya, berlari ke arah saya. Lesly berkata: 'Saya lapar,'" kata Nicolas Ordonez Gomes, seorang daripada kru mencari dan menyelamat.

"Salah seorang daripada dua budak itu terbaring. Dia bangun dan berkata kepada saya: 'Ibuku sudah meninggal.'

"Kami segera memberi kata-kata semangat, mengatakan kami kawan, kami dihantar oleh keluarga, bapa, bapa saudara. Bahawa kita adalah keluarga!" Ordonez Gomes menambah.

Dalam video yang dikeluarkan pada Ahad yang menunjukkan keadaan kanak-kanak itu sejurus mereka ditemui, kelihatan kurus kering.

Penyelamat mereka dilihat menyanyi, menghisap tembakau - tumbuhan yang dianggap suci di kalangan ramai penduduk hutan - dan meraikannya.

Bagaimana 4 beradik selamat selepas 40 hari dalam hutan?

Empat kanak-kanak itu hilang di dalam hutan sejak 1 Mei, apabila Cessna 206 yang dinaiki mereka terhempas.

Juruterbang melaporkan masalah enjin hanya beberapa minit selepas berlepas dari kawasan Amazon dalam yang dikenali sebagai Araracuara dalam perjalanan sejauh 350 kilometer (217 batu) ke bandar San Jose del Guaviare.

Mayat juruterbang, ibu kanak-kanak itu dan seorang lagi dewasa semuanya ditemui di lokasi nahas, di mana pesawat itu dalam keadaan menegak di atas pokok.

Bapa kanak-kanak itu, bercakap kepada media pada Ahad di luar hospital, berkata bahawa isterinya cedera parah dalam nahas 1 Mei itu, tetapi belum meninggal dunia sehingga empat hari kemudian, dengan anak-anaknya berada di sebelahnya.

"Lesly (berusia 13 tahun) beritahu saya bahawa ibunya masih hidup namun meninggal dunia selepas empat hari kemudian," kata Manuel Miller Ranoque kepada pemberita.

"Sebelum dia meninggal dunia, ibu mereka ada memberitahu mereka sesuatu seperti, 'Kamu pergi dari sini. Kamu akan melihat lelaki seperti ayah kamu, dan dia akan menunjukkan kepada kamu kasih sayang yang sama seperti yang pernah saya tunjukkan kepada kamu.'"

Magdalena Mucutuy, ibu kanak-kanak itu, adalah seorang pemimpin Orang Asli.

"Kelangsungan hidup kanak-kanak adalah tanda pengetahuan dan hubungan dengan persekitaran semula jadi yang diajar bermula dalam rahim ibu," menurut Pertubuhan Kebangsaan Orang Asli Colombia.

Semua kanak-kanak itu makan biji, buah, akar dan tumbuhan yang mereka kenal pasti boleh dimakan berikutan mereka dibesarkan di rantau Amazon, Luis Acosta kata Pertubuhan Pribumi Kebangsaan Colombia memberitahu AFP.

Menteri Pertahanan Ivan Velasquez, yang melawat mereka di hospital bersama Presiden Gustavo Petro, berkata mereka semakin pulih, tetapi belum boleh makan makanan pejal.

Dua kanak-kanak iaitu yang berusia lima dan satu tahun menyambut hari lahir mereka di dalam hutan dengan Lesly membimbing dan mereka melalui pengalaman pahit itu.

"Berkat dia, keberanian dan kepimpinannya, tiga yang lain dapat bertahan, dengan penjagaannya, pengetahuannya tentang hutan," kata Velasquez.

Jeneral Pedro Sanchez, yang mengetuai operasi mencari, memuji Orang Asli yang terbabit dalam usaha menyelamat dengan mencari kanak-kanak itu.

"Kami menemui kanak-kanak ini: Ajaib! Ajaib! Ajaib! katanya kepada pemberita.

Ketua tentera Helder Giraldo berkata, pasukan penyelamat melakukan perjalanan sejauh lebih 2,600 kilometer untuk mengesan kanak-kanak itu.

"Sesuatu yang kelihatan mustahil telah dicapai," kata Giraldo di Twitter.

Selain harimau bintang, ular dan pemangsa lain, kawasan itu juga menjadi rumah kepada kumpulan penyeludup dadah bersenjata.

Tiada ulasan: