"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Wadi Annuar perjelas isu hadir majlis resepsi Janna Nick

KOSMO!

Ustaz Wadi Annuar (kiri) ketika membaca doa dalam majlis resepsi pasangan pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann.
PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar menjawab persoalan orang ramai apabila tular video dirinya menghadiri majlis resepsi pasangan pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann di sebuah resort terkemuka di Langkawi, kelmarin.

Menurut Ustaz Wadi Annuar atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub, dia dijemput oleh pihak tuan rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan dan bacaan doa.

Jelasnya, ketika tiba di majlis tersebut, dia tidak melihat pengantin lelaki mahupun perempuan lagi sebelum diminta pihak penganjur untuk duduk di suatu tempat.

“Selepas lebih kurang 10 minit, pengerusi majlis buat pembukaan sedikit dan mengumumkan untuk saya baca doa. Ketika itu, pengantin tiada lagi.

“Kemudian, selesai membaca doa, pengerusi majlis umum perarakan masuk pengantin dari hujung sana. Saya pun tengok dan terus beritahu pembantu saya, lepas ini kita kena terus balik.

“Jadi saya ambil keputusan tidak makan, tidak bergambar, tidak bersama dengan tentatif sehingga ke akhir majlis. Saya buat keputusan untuk terus balik,” katanya dalam siaran langsung di akaun TikToknya, hari ini.

Tambahnya, dia tidak tahu apa yang akan berlaku dalam majlis itu kerana dijemput hanya untuk makan kenduri dan bacaan doa.

“Apabila melihat keadaan sebegitu, saya terus ajak pembantu saya beransur selepas pengantin beredar dan memang kami balik pun. Boleh tanya penganjur.

“Itu yang diajar oleh agama Islam, iaitu tidak memalukan orang, tidak menimbulkan persepsi yang negatif, tidak menjatuhkan tuduhan dan fitnah pada orang.

“Hukum tetap hukum tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu keruhkan keadaan.

“Alhamdulillah semuanya tenang, pengantin pun ok tidak rasa apa-apa, saya pun menghadiri kenduri kahwin wajib. Apabila saya sampai, baru saya tahu keadaan disitu dan kemudiannya beredar,” ujarnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai pengguna meluahkan rasa segan apabila melihat kehadiran agamawan ke majlis resepsi pasangan berkenaan.

Wadi Annuar yang duduk di barisan hadapan tetamu dalam majlis itu juga kelihatan janggal apabila perlu melihat pakaian pengantin serta tetamu yang hadir dalam keadaan seksi dan tidak menutup aurat.

Ekoran itu, ramai yang meminta Wadi Annuar untuk memberi penjelasan kehadirannya ke majlis itu bagi mengelakkan fitnah.

“Ustaz nanti ustaz jelaskan pada kami semua, tidak sanggup tengok ustaz kena kecam sebab hadir majlis ini. Sabar ustaz ini adalah ujian untul ustaz,” komen Noor Atiqah.

“Ustaz nampak asing di majlis itu. Mana lah nak pandang agaknya.. nak tutup mata karang tertidur pula.. ujian,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: