"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Cakap separuh benar jadi bohong mutlak’, kata Anwar berkait P Pinang milik Kedah

Bernama

GEORGE TOWN: Pemimpin negara ini perlu mempunyai pengetahuan apabila membuat kenyataan mengenai sesuatu isu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang merujuk kepada isu dakwaan Pulau Pinang milik Kedah, berkata sejarah telah tertulis akan perubahan yang berlaku ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan ia perlu dihormati.

“Tradisi membaca itu harus kalau tidak tengok kita perbincangan sekarang Kedah ambil alih Pulau Pinang sebab ada buku sejarah. Sebab itu saya kata ‘pengetahuan yang sedikit boleh menyebabkan seseorang percaya seolah-olah dia lebih pakar dalam sesuatu’ ada juga ‘separuh kebenaran adalah pembohongan mutlak’.

“Betul tak Kedah miliki Pulau Pinang? Ya, itu dulu. Ada perubahan? Ya. Siapa tandatangani? Sultan Kedah. Bila? Pada tahun 1948, paling akhir 1957. Untuk apa? Untuk menyatakan setiap negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dan lain-lain itu menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu,” katanya dalam Program Temu Anwar di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.

Anwar menegaskan pemimpin juga perlu berilmu dan membaca sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau isu.

Katanya, baca buku sejarah itu, bila baca sejarah Siam bagaimana, bagaimana Brunei di Sarawak, Sulu di Sabah dan sebelum itu Kerajaan Sriwijaya.

“Jadi baca, kalau nak jadi pimpinan lebih lagi mencabar…jangan main suara politik picisan, guna ilmu dan selamatkan rakyat,” katanya.

Pada 29 Mei lalu, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor dilaporkan, berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Tiada ulasan: