"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Annuar Musa: 'Lebih 2 juta ahli sudah tinggalkan UMNO'

Mohd Amin Jalil
bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mendakwa lebih dua juta ahli sudah meninggalkan parti itu.

Beliau yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN), mendakwa UMNO kini bukan lagi parti yang menjadi pilihan rakyat.

"Realitinya hari ini, UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat. Dua juta ahli parti itu sudah meninggalkan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

"UMNO bukan lagi parti yang mengutamakan perpaduan rakyat. UMNO bukan lagi parti yang nak menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Ia sudah bertukar menjadi satu parti menjaga kepentingan individu, menjaga kepentingan kelompok dan puak tertentu, sekarang ini mereka sibuk menjaga dan menjadi tukang sapu kepada parti DAP semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Perikatan Nasional (PN) di Senawang, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyudin Hasan; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali.

Annuar yang kini menjadi ahli PAS, mendakwa UMNO sedang dikongkong dan digonggong Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Tidak ada sebab untuk saya menyokong sebuah parti politik (UMNO) yang sedang dikongkong Presidennya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang telah merosakkan dirinya sendiri.

"Tiada sebab untuk saya menghabiskan sedikit sebanyak harta benda bagi menyokong parti itu yang telah rosak dan lebih penting menjadi penderhaka nombor satu kepada perjuangan orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini," katanya.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Ketereh, mendakwa dulu UMNO yang disertainya selama 50 tahun diharapkan menjadi parti yang akan mendukung penyatuan dan perpaduan ummah dan rakyat.

Bagaimanapun, katanya UMNO kini menjadi parti yang mengepalai perpecahan dalam kalangan ummah rakyat dalam negara ini.

"Saya ahli UMNO selama 50 tahun kerana waktu itu diharapkan menjadi parti politik yang menjunjung perjuangan ABATA, Agama, Bangsa dan Tanah Air, dan juga nak menjaga UMNO sebagai sebuah parti yang didokong majoriti umat dan rakyat dalam negara ini.

"Tapi, kini menjadi parti yang dikawal seorang presiden yang mengkhianati orang Melayu dan Islam," katanya sambil mendakwa berfikir dengan hati yang tenang dan jiwa yang luhur, berhubung pilihannya meneruskan perjuangan politik dengan menyertai PN.

Beliau menjelaskan keputusan untuk menyertai PN dibuat secara sukarela tanpa paksaan.

"Saya akan menjelaskan rasional penyertaan saya bersama PAS dan PN pada siri-siri rapat umum yang akan diadakan selepas ini dan mengajak rakyat untuk bersama PN," katanya.

Annuar dipecat pada Disember 2022 lalu selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Turut sama dipecat bersamanya ketika itu ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yassin yang juga isteri bekas Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Ahmad Zahid khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

Tiada ulasan: