FMT Reporters
Tular video seorang wanita menghina dua polis berpangkat rendah.
PETALING JAYA: Seorang wanita yang didakwa pegawai polis disiasat kerana mengeluarkan kenyataan menghina dan mengugut dua anggota berpangkat rendah yang tular di media sosial.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata salah satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Menurutnya, anggota terbabit turut membuat laporan dan polis membuka siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan perkataan berunsur penghinaan.
“Suspek telah dikenal pasti dan telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak untuk siasatan selanjutnya.
“Orang awam dinasihati agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen boleh menggugat ketenteraman awam serta tidak mengganggu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam video berdurasi 25 saat di media sosial, wanita terbabit tidak henti-henti mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap dua anggota polis.
Berdasarkan keterangan disertakan bersama rakaman video itu, wanita didakwa seorang pegawai polis manakala dua anggota polis adalah pangkat bawahan dengan seorang daripadanya berpangkat lans koperal.
Terlihat juga wanita terbabit merendahkan pangkat anggota polis itu dengan menyatakan mereka tidak layak membuat teguran terhadapnya kerana dia berpangkat lebih tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan