"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kempunan 'main' burung

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
ANTARA burung di dalam sangkar yang dirampas pihak berkuasa dari sekumpulan individu di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan
ANTARA burung di dalam sangkar yang dirampas pihak berkuasa dari sekumpulan individu di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan
Kuala Lumpur: Keterujaan sekumpulan peminat kicauan burung berkumpul bagi menyertai pertandingan 'terbantut' apabila mereka dikepung sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Dalam operasi bersepadu kelmarin, semua mereka ditahan selepas didapati memiliki dan menyimpan burung Merbah Luris Leher yang diharamkan dipelihara.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kumpulan individu terbabit ditahan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Selatan disertai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurutnya, serbuan dilakukan jam 10.45 pagi, kelmarin, berhampiran kawasan lapang di Kampung Gadong Lama, Labu, Negeri Sembilan.

"Seramai 13 lelaki tempatan ditahan. Pemeriksaan lanjut menemui hidupan liar iaitu 14 ekor disyaki spesies burung Merbah Luris Leher.

"Burung ini adalah spesies hidupan liar dilindungi sepenuhnya. Semua burung itu ditemui diletakkan di dalam sangkar khas," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati rata-rata suspek ditahan berusia 20-an hingga 60 tahun berasal dari Pasir Mas dan Tanah Merah, Kelantan serta Jerteh, Terengganu.

"Mereka dipercayai berkumpul di lokasi itu bagi menyertai pertandingan kicauan burung.

"Semua burung Merbah Luris Leher dianggarkan bernilai hampir RM200,000 dirampas dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

"Semua barang kes disita dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Perhilitan dan PGA turut melakukan serbuan di sebuah premis di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu, Kelantan, tengah hari kelmarin.

"Seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis berusia 30-an disiasat sebelum pemeriksaan lanjut menemui dua ekor Burung Merbah Luris Leher, tiga ekor Burung Murai Batu, seekor Burung Tiong dan 13 Kura-kura Red-eared slider.

"Semua spesis hidupan liar dilindungi itu bernilai RM6,000. Semua hidupan liar itu dirampas dan dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: