"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Untuk bantu rakyat saya akan 'flip-flop'

Malaysiakini

Dewan Rakyat kecoh hari ini dengan pihak pembangkang menuduh kerajaan sebagai flip-flop berhubung isu pemberian subsidi ayam dan telur serta biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Menjawap tuduhan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan dia tidak kisah mengambil langkah sedemikian demi meringankan beban rakyat.

Bagaimanapun, katanya, bahawa keputusan untuk menamatkan subsidi ayam dan telur menjelang akhir Jun dan menghentikan biasiswa JPA dibuat semasa pentadbiran sebelum ini.

Anwar Ibrahim (PH - Tambun)
"Keputusan JPA (menghentikan biasiswa) ini keputusan lama. Ada rekod. Saya hadir mesyuarat JPA, memang ada keputusan lama untuk mengkaji semula dan menghentikan (biasiswa).

"Yang diumumkan itu keputusan lama. Bila saya mempengerusikan mesyuarat JPA, keputusannya yang saya buat, (iaitu) sambung biasiswa.

"Begitu juga tentang ayam dan telur. Keputusan (subsidi) habis Jun, itu keputusan lama dan kementerian hanya umumkan keputusan (lama). (Selepas) rujuk kepada menteri kewangan dan perdana menteri, saya kata sambung (subsidi).

"Pengumuman itu bukan flip-flop. Keputusan lama diumum ikut prosesnya tapi bila dimaklum kepada saya dan diteliti balik, ini akan membebankan rakyat, raya haji dekat. Kita tolonglah rakyat.

"Kalau pun flip-flop, untuk bantu rakyat saya akan flip-flop. Buat apa tak mahu flip-flop tapi bebankan rakyat," katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang)
ADS

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang meminta perdana menteri menjelaskan keputusan kerajaan yang bertukar-tukar baru-baru ini.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata kedua-dua itu bukan keputusan pertama kabinet Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang ditukarkannya.

Sebagai contoh, katanya, dia juga telah membatalkan keputusan kerajaan PN yang meningkatkan kos elektrik untuk rakyat.

Di sebalik usaha beberapa ahli parlimen PN untuk tampil mencelah dan mendakwa kenyataan itu adalah salah, Anwar menegaskan terdapat rekod di Parlimen bahawa kerajaan sebelum ini ada membuat pengumuman tersebut.

Pada 9 Jun lalu, Putrajaya mengumumkan akan meneruskan subsidi pengeluaran ayam dan telur.

Sebelum ini subsidi ayam dan telur dilaporkan akan tamat pada 30 Jun ini.

Sementara itu, Anwar juga berkata JPA akan terus menawarkan biasiswa kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi, walaupun pengumuman awal daripada JPA menyebut bahawa ini akan dihentikan.

Adalah dilaporkan bahawa JPA membuat keputusan untuk menghentikan penajaan itu berikutan kajian pada 2019 yang mengunjurkan akan berlaku lebihan bekalan pegawai perubatan bermula dari 2026 hingga 2030.

Tiada ulasan: