"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki kasari pemandu dipenjara 9 hari kerana tampar pelayan restoran pula

Malaysiakini

Seorang lelaki yang sebelum ini dipenjara tujuh hari kerana mengasari seorang pemandu wanita di Lata Iskandar di Cameron Highland, dikenakan hukuman penjara sembilan hari pula oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan menampar pelayan restoran.

Majistret Qasiratuljannah Usmani Othman turut menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, dan dipenjara sembilan hari lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, namun ia berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan iaitu semalam.

Penyelia mesin itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V Dennis Pillai, 23, di Restoran Glory 78 Steamboat Snack Corner (Bamboo Biryani) Tanah Rata di Cameron Highland, pada kira-kira 4.20 petang, 4 Jun.

Mohammad Zaim Faiz turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas warga asing, Samir Das di masa dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S Punitha memohon Mohammad Zaim Faiz dikenakan hukuman setimpal bagi memberi ganjaran, selain kes telah menjadi tular.

Lelaki yang tidak diwakili peguam itu, bagaimanapun dalam keadaan sebak merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda minimum, kerana isterinya akan bersalin pada hujung bulan ini selain mempunyai seorang anak kecil.

Beliau turut mengakui telah insaf dan berjanji  untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan.

Mengikut fakta kes, Mohammad Zaim Faiz memaki hamun dengan kata-kata kesat memarahi kedua-dua mangsa, kerana makanan yang dipesan lambat sampai dan menampar Samir Das sebanyak dua kali di pipi kiri dan menampar kedua-dua pipi Dennis Pilai sebanyak empat kali.

Pada 9 Jun, Mahkamah Majistret Tapah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari ke atas lelaki itu yang mengasari seorang pemandu wanita dalam insiden di Lata Iskandar, yang tular baru-baru ini.

- Bernama

Tiada ulasan: