"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jakim diminta siasat YouTuber muat naik video pergaulan bebas

NURUL IZZATI ZAINI
Tangkap layar beberapa video yang dimuat naik oleh YouTuber berkenaan.
PETALING JAYA – Ramai pengguna media sosial menyeru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa lain untuk menyiasat seorang YouTuber yang memuat naik pelbagai video memaparkan pergaulan bebas.

Ia ekoran beberapa video yang dimuat naik di akaun yang mempunyai 2.65 juta pengikut itu, tidak bersesuaian untuk tontonan golongan muda dan dianggap telah mencemari agama Islam.

Menerusi ciapan oleh @ConfessionLocal, dikhabarkan mereka menghasilkan kandungan video di dalam sebuah rumah yang mempunyai kolam renang, tidak kira siang atau malam.

“Anak-anak kita, adik-adik kita mungkin selalu tonton video-video di akaun ni. Ramai anak muda minat mereka. Lelaki dan perempuan bercampur, tiada pantauan orang tua.

“Lepak seperti duduk di sebuah rumah dengan alasan kerja dan rumah itu sebagai pejabat. Ibarat pergi melancong bersama tetapi bilik asing.

“Isu ini sudah lama ditegur, namun mereka tidak kisah. Malah, ada video ‘prank’ mereka juga ibarat normalisasikan percampuran lelaki perempuan, ‘couple’ dan ‘prank’ kena tangkap basah pun ada,” tulisnya.

Tambahnya, ramai sudah menegur anak-anak muda dalam video ini tetapi tiada perubahan dan agama Islam dilihat seakan-akan semakin dipermainkan.

“Harap ibu bapa pantau anak-anak sebab mereka akan ikut apa yang dilihat. Tanpa disedari anak-anak kita dipengaruhi dengan budaya bebas ini.

“Banyak video ‘prank’ yang tak sudah, ‘prank’ hamil pun ada, pergaulan tidak jaga. Mereka siap ada peminat yang ada kumpulan Telegram. Saya menyeru, kita boikot kandungan mereka,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang bersetuju agar tindakan diambil dengan segera bagi mengelakkan lagi ramai golongan muda terpengaruh dengan budaya Barat.

“Semakin rosak anak-anak muda, penzinaan makin berleluasa. Mereka ini tidak kisah pasal halal atau haram. Target mereka remaja, itu yang buat kisah cinta,” komen Lee.

“Terima kasih ‘admin’ sebab suarakan bagi pihak kami. Saya memang fikir ramai adik-adik sekarang tengok ‘channel’ ni. Memang pengaruh buruk,” komen seorang pengguna.

“Buat sahaja laporan di pejabat agama terdekat. Bila ada laporan, insha Allah akan diserbu. Budak-budak macam ini tidak perlu cakap panjang lebar,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: