"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tindakan keras wajib dikenakan terhadap majikan curang ini untuk dijadikan pengajaran pihak lain

Empat majikan ditahan guna dokumen palsu mohon RTK 2.0

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Penguat kuasa Imigresen memeriksa pekerja warga asing yang melakukan kerja pembersihan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. NSTP/Ihsan Imigresen
Penguat kuasa Imigresen memeriksa pekerja warga asing yang melakukan kerja pembersihan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil. NSTP/Ihsan Imigresen
KUALA LUMPUR: Empat syarikat perladangan dikesan cuba membuat permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) untuk menggajikan ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan dokumen dan maklumat palsu.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kuala Lumpur menerusi Operasi Sapu (Ops Sapu) yang dilaksanakan kelmarin dan semalam.

Operasi dijalankan hasil risikan selama 30 hari, selain pemantauan ke pejabat pengeluar dokumen dari enam negeri dan aduan orang awam.

Pengarah Imigresen Negeri, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata empat pemilik syarikat terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki itu ditahan kerana dipercayai cuba memalsukan permohonan RTK 2.0 untuk menggajikan PATI bagi kuota pekerja asing mereka.

"Tangkapan adalah hasil tiga Ops Sapu oleh Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur di syarikat yang terletak di sekitar Kuala Lumpur.

"Seorang lagi majikan dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta bagi memberi keterangan lanjut," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, modus operandi yang dikesan adalah dengan memalsukan dokumen, menggunakan pendaftaran serta alamat syarikat yang tidak wujud.

"Pemilik syarikat didapati memalsukan beberapa dokumen permohonan dan mengemukakan alamat syarikat yang mengelirukan serta sengaja didaftarkan bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa dan lain-lain dokumen syarikat yang dipercayai turut dipalsukan.

"Tindakan ini bertujuan mendapatkan kelulusan permohonan ratusan kuota untuk pekerja warga asing yang memohon melalui syarikat mereka dalam Program RTK 2.0," katanya.

Mohammed Saupee berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(k), Akta Imigresen 1959/63 iaitu cubaan memperoleh untuk diri orang lain (pekerja warga asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu.

Katanya, sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara lima hingga 10 tahun dan sebatan tidak lebih enam sebatan.

"Semua majikan yang berurusan dalam mana-mana permohonan perlu bertanggungjawab memastikan semua dokumen yang dikemukakan ketika permohonan adalah tulen dan diperoleh daripada agensi pengeluar dokumen dan bukan melalui ejen atau pihak ketiga.

"Majikan yang sudah mendaftarkan PATI untuk program RTK 2.0 diminta segera hadir ke pejabat RTK 2.0 Imigresen Kuala Lumpur untuk menyelesaikan proses verifikasi.

"Ini bagi membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan tanpa menunggu sehingga saat akhir dan bagi mengelakkan sebarang kesulitan," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan semalam, sebuah syarikat pembersihan dikesan menggajikan 15 PATI Indonesia sebagai pekerja mereka untuk kerja pembersihan di sebuah sekolah sukan di Bukit Jalil.

Mohammed Saupee berkata, menerusi operasi itu, seramai 15 PATI terdiri daripada lima lelaki dan 10 wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun ditahan di sekolah sukan terbabit.

"Dua saman dikeluarkan terhadap wakil sekolah sukan terbabit untuk diambil keterangan lanjut berhubung tangkapan 15 PATI yang didapati digaji secara haram sebagai pekerja perkhidmatan pembersihan di premis mereka.

"Buat masa ini, kesemua PATI itu ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas atau permit sah untuk tinggal di Malaysia.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c), akta sama iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan," katanya.

Mohammed Saupee menegaskan, tindakan pemilik atau operator premis serta majikan melindungi PATI dengan membenarkan mereka berada di dalam premis adalah suatu kesalahan, apatah lagi menggajikan PATI.

Tiada ulasan: