"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

9 pelancong maut selepas makan daging penyu

Agensi

Dodoma, Zanzibar: Sekumpulan pelancong membabitkan lapan kanak-kanak dan seorang wanita, maut, selepas mereka makan daging penyu, makanan istimewa yang jarang ditemukan semasa bercuti di Zanzibar, baru-baru ini.

Wanita dewasa yang maut adalah ibu kepada seorang daripada kanak-kanak terbabit.

Metro UK melaporkan, makanan istimewa itu diketahui menyebabkan chelonitoxism iaitu sejenis keracunan makanan.

Pelancong itu berada di Pulau Pemba, yang sebahagian daripada Kepulauan Zanzibar di Tanzania.

Seramai 78 orang lagi dimasukkan ke hospital selepas memakan daging penyu itu, yang dikatakan rasanya seperti daging lembu dan memiliki tekstur yang boleh dibandingkan dengan sotong atau buaya.

Pegawai Perubatan Daerah Mkonai, Dr Haji Bakari berkata, daging penyu itu dimakan pada 5 Mac lalu.

Beliau berkata, ujian makmal mengesahkan semua mangsa didapati memakan daging penyu.

Susulan kejadian, pihak berkuasa Zanzibar menghantar pasukan pengurusan bencana ke wilayah itu, yang menggesa orang ramai supaya mengelak daripada memakan penyu.

Punca sebenar chelonitoxism tidak diketahui, tetapi ia dianggap dikaitkan dengan penyu yang memakan alga beracun, menurut badan amal Turtle Foundation.

Pada 2021, tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati di Pulau Pemba selepas memakan daging penyu beracun.

Kes chelontoxism juga telah dilaporkan di Indonesia dan Micronesia.
-hmetro 

Tiada ulasan: