"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amaran kepada ahli politik: Jangan tamak! Semua pencen nak kaut

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Kota Samarahan: Beban kewangan kerajaan dapat dikurangkan jika ahli politik bertaraf wakil rakyat dan anggota kabinet hanya menerima satu sahaja pencen daripada beberapa jawatan yang pernah disandang ketika masih berkhidmat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat berkata, ketika ini ada kalangan bekas menteri yang turut menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima pencen untuk setiap jawatan itu.

Justeru katanya, dalam usaha mengurangkan bebanan kewangan kerajaan membayar pencen, mereka seharusnya diberi hanya satu sahaja pencen.

"Mereka harus menerima satu sahaja pencen iaitu kadar mana yang paling tinggi antara semua pencen yang diterimanya, misalnya menteri, timbalan menteri atau exco negeri, tidak perlu diberi pencen Ahli Parlimen atau ADUN lagi.

"Ini kerana ada antara mereka berkhidmat (sebagai wakil rakyat) dalam tempoh singkat hanya lima tahun sahaja, tetapi menerima pencen dalam jumlah tertentu untuk semua jawatan yang disandangnya, jadi untuk memastikan sesuatu yang lebih baik atau lebih munasabah perlu diwjudkan skim baharu iaitu beri satu pencen sahaja," katanya selepas Majlis Perjumpaan CUEPACS Bersama Staf Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Arena Gemilang, DeTAR Putra, UNIMAS, di sini, tadi.

Turut hadir, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.

Adnan berkata, apabila skim satu pencen itu dilaksanakan ia tidak lagi menjadi isu dan CUEPACS kini memberi tumpuan untuk mewujudkan skim pencen yang lebih baik untuk anggota perkhidmatan awam pada masa depan.

"Sekarang ini banyak diperkatakan tentang pencen perkhidmatan awam akan dimansuhkan tetapi bagi CUEPACS perkataan yang tepat adalah penambahbaikan skim pencen yang bersesuaian dengan keperluan anggota perkhidmatan awam generasi akan datang.

"Bagi generasi kami, apabila masuk kerja dalam perkhidmatan awam, jawatan kami adalah tetap dan berpencen, bermakna kami dari hari pertama kami sudah disusun dalam bentuk caruman kerajaan dalam Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berterusan hingga kami tamat perkhidmatan.

"Apabila penambahbaikan dilakukan, pastikan anggota perkhidmatan awam masa depan mendapat skim yang lebih baik berbanding skim tetap dan berpencen yang ada sekarang," katanya.

Menurutnya lagi, dalam isu penambahbaikan skim pencen itu, tiga agensi yang menjaga kebajikan pekerja iaitu KWAP, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membentangkan skim pencen yang mereka cadangkan bagi menggantikan skim sedia ada.

"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) maklumkan dua cadangan akan dibentangkan pada 18 Mac ini oleh KWAP dan KWSP kepada kerajaan manakala pada 22 Mac pula oleh PERKESO.

"CUEPACS juga akan melihat apakah cadangan mereka lebih baik daripada skim yang ada hari ini (semalam)," katanya.

Tiada ulasan: