"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syarikat pembungkusan dikesan jual minyak masak subsidi ke negara jiran

Bernama

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan serta-merta lesen syarikat pembungkusan minyak masak paket bersubsidi yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan hingga menyebabkan ketirisan agihan bekalan keperluan itu di pasaran.

Menterinya Armizan Mohd Ali berkata KPDN mengenal pasti beberapa syarikat yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penyelewengan dan ketirisan itu termasuk ketika menjalankan proses pembungkusan minyak masak paket bersubsidi.

Menurutnya ada juga syarikat yang didapati menjual barang kawalan itu kepada industri dan bukannya peruncit untuk kegunaan pengguna selain menjualnya ke negara jiran.

“Kita (KPDN) akan mengumumkan (jumlah) keseluruhan (syarikat pembungkusan minyak masak paket bersubsidi terlibat aktiviti penyelewengan dan ketirisan) selepas Mac ini kerana ada beberapa negeri yang belum selesai audit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Rahmah di Kinarut.

Armizan berkata kementerian serius dalam memastikan tidak ada mana-mana syarikat pembungkus minyak masak paket bersubsidi berterusan mensabotaj program baik diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan sasar mendapatkan barang keperluan itu pada harga murah di pasaran.

“Mana-mana pihak didapati terlibat dalam penyelewengan dan ketirisan, kita akan ambil tindakan serta- merta termasuk dari segi perundangan,” katanya menambah syarikat pembungkusan minyak masak paket bersubsidi di Sabah juga tidak terkecuali daripada berdepan tindakan tegas berkenaan.

Armizan berkata kementerian juga akan menambah baik Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCoss) bagi memantau proses pengagihan minyak masak paket bersubsidi daripada syarikat pembungkusan kepada peruncit.

Pada tahun lepas, katanya kerajaan membelanjakan RM1.5 bilion bagi membekalkan sebanyak 60 juta paket minyak masak bersubsidi di pasaran.

Di Sabah, Armizan berkata kementeriannya akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat negeri bagi memastikan syarikat pembungkus minyak masak paket bersubsidi dapat menyalurkan bekalan ke setiap daerah memerlukan.

Beliau berkata 90% daripada syarikat pembungkusan minyak masak paket bersubsidi di Sabah, dilantik di pantai timur negeri itu merangkumi Sandakan, Tawau dan Semporna, manakala hanya 10% sahaja di kawasan pantai barat.

Tiada ulasan: