"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan rayu ahli selamatkan Harakah

Harapandaily

Pas merayu ahlinya menghulurkan sumbangan bagi membiayai perintah pembayaran oleh mahkamah terhadap akhbar parti itu, Harakah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata mahkamah telah memerintahkan Pas membayar tuntutan saman daripada bekas pencetak akhbar Harakah, NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd berjumlah RM656,233.69.

Menerusi kenyataan pada 5 Februari yang kembali tular, Takiyuddin berkata, semua peringkat Pas negeri, kawasan dan dewan-dewan pusat menghulurkan sumbangan.

Keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu dibuat bagi mengelakkan tindakan undang-undang seterusnya dikenakan terhadap parti dan Harakah jika bayaran tersebut gagal dilunaskan segera.

Sehubungan itu, Badan Perhubungan Pas Negeri dan Wilayah Persekutuan dikehendaki menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000.

Sementara itu, Dewan-Dewan Pusat iaitu Dewan Ulama Pas Pusat, Dewan Pemuda Pas Pusat, Dewan Muslimat Pas Pusat, Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Sidang As-Sabiqun perlu memberi sumbangan berjumlah RM4,000.

Sumbangan bernilai RM3,000 pula daripada setiap Pas Kawasan.

“Sesungguhnya sumbangan ini sahaja yang akan menjamin kelangsungan wadah dan menyelamatkan medium Pas iaitu Harakah yang telah memainkan peranan sejak sekian lama membantu perjuangan ummah yang diterajui oleh Pas khususnya dalam bidang tarbiyah, dakwah dan siasah,” kata Takiyuddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, segala sumbangan bagi tujuan tersebut boleh didepositkan terus ke akan parti itu dengan meletakkan rujukan “Sumbangan Selamatkan Harakah’.

Tambahnya lagi, sumbangan seboleh-bolehnya dihulurkan sebelum atau pada 28 Februari lalu.

Untuk rekod, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Disember 2023 memerintahkan Pas membayar RM656,233.69 kepada bekas pencetak akhbar Harakah, NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd yang menuntut baki bayaran perkhidmatan mencetak.

Perintah itu dibuat selepas membenarkan permohonan NAJ Press selaku plaintif untuk mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan samannya terhadap Pas.

Kes saman tersebut menyaksikan NAJ Press turut menamakan Takiyuddin selaku Setiausaha Agung Pas dan penerbit akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan kedua dan ketiga.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 11 Julai 2023, NAJ selaku plaintif mendakwa ia beberapa kali membuat tuntutan terhadap baki bayaran perkhidmatan untuk mencetak akhbar Harakah.

Plaintif mendakwa, ia juga menghantar surat tuntutan bertarikh 3 April 2019 untuk menuntut baki bayaran tersebut.

Defendan kemudian melalui surat bertarikh 8 April 2019 mengakui jumlah tunggakan dan berjanji untuk melunaskan bayaran, tetapi gagal berbuat demikian.

Plaintif berkata, ia kemudian menghantar surat peringatan kepada Pas dan Harakah bertarikh 5 Ogos 2019 melalui Takiyuddin selaku Setiausaha Agung parti bagi menuntut tunggakan baki bayaran itu.

Walau bagaimanapun, semua defendan masih gagal berbuat demikian.

Tiada ulasan: