"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah penjawat awam, 3 pemilik syarikat ditahan SPRM

FMT Reporters

Tiga pemilik syarikat ditahan susulan operasi khas SPRM bersama LHDN dan BNM.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga pemilik syarikat, termasuk dua bergelar ‘Datuk’, kerana disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam bagi tujuan tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan.

Menurut sumber, mereka disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam bagi tujuan tidak mengambil tindakan terhadap penyeludupan tembakau, rokok, dan arak melalui pintu masuk negara.

Penahanan ini susulan operasi khas Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Bank Negara Malaysia.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka,” menurut sumber.

Mereka yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2018 hingga 2023, tambahnya.

Katanya lagi, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai ditahan semalam pada kira-kira 11.30 malam, di pejabat SPRM Putrajaya ketika diminta hadir memberi keterangan.

Pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah, dan beberapa buah kereta mewah turut disita.

Pengarah AML SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tiga suspek tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM.

Sumber memaklumkan suspek pertama direman tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac, manakala suspek kedua dan ketiga yang bergelar ‘Datuk’ direman sehari bermula hari ini.

Sementara itu, SPRM turut mendapat kebenaran untuk menyambung reman dua lagi suspek yang ditahan pada Isnin dan Selasa lalu berhubung kes yang sama.

Tiada ulasan: