Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
KEADAAN mayat mangsa yang hampir reput di rumah kuarters sebuah agensi kerajaan di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Kota Kinabalu: Panggilan tidak dijawab sejak beberapa hari lalu membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas yang ditemui mati di kuarters agensi kerajaan di Jalan Sulaman, di sini, Isnin lalu.
Mayat lelaki berusia 66 tahun itu ditemui mati oleh anak saudaranya yang pulang ke kediaman itu selepas selesai bertugas di luar kawasan sejak lima hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur rumah itu kira-kira jam 9.30 malam.
Katanya, mangsa dikatakan tinggal seorang diri berikutan dua anak saudaranya tidak pulang ke rumah kerana masing-masing bertugas di luar kawasan.
"Siasatan awal mendapati, mangsa mempunyai sejarah penyakit paru-paru berair dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) Februari lalu.
"Anak saudara mangsa mendakwa pernah cuba menghubungi mangsa namun panggilannya tidak dijawab. Dia hanya mengetahui kematian mangsa ketika pulang ke rumah Isnin lalu," katanya semalam.
Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dipanggil ke lokasi kejadian,..
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tindakan selanjutnya.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan