"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tukang urut 'seksi' dicekup dalam serbuan 10 premis 'Thai Massage' di Bukit Bintang

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
ANTARA yang ditahan dalam serbuan di 10 rumah urut di sekitar Bukit Bintang oleh JSJ Bukit Aman bersama JSJ KL semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA yang ditahan dalam serbuan di 10 rumah urut di sekitar Bukit Bintang oleh JSJ Bukit Aman bersama JSJ KL semalam. FOTO Ihsan PDRM
Kuala Lumpur: Polis serbu 10 premis tawar perkhidmatan urutan (Thai Massage) oleh wanita warga asing tanpa dokumen sah kepada orang ramai di sekitar Bukit Bintang, di sini semalam.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata serbuan bermula jam 3 petang itu dijalankan bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan menyasarkan pusat refleksologi dalam kalangan warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Dalam operasi ini pihak JSJ menahan 48 wanita warga asing dan 21 lelaki warga asing yang dipercayai bekerja sebagai tukang urut.

"Turut ditahan 10 pengurus atau penjaga premis berkenaan yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan tiga wanita warga asing.

"Kesemua premis ini didapati melakukan kesalahan menggajikan wanita dan lelaki warga asing tanpa sebarang permit sah.

"Ia dikesan berdiri di hadapan pintu premis sambil menawarkan khidmat urut kepada orang ramai dan pelancong asing yang lalu di hadapan premis," katanya hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, keseluruhannya 71 tukang urut ditahan dalam serbuan mengejut di sekitar Jalan Changkat dan Jalan Bukit Bintang itu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati lapan daripada premis terbabit beroperasi tanpa sebarang lesen atau permit yang sah.

JSJ berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tukang urut wanita warga asing yang berpakaian seksi turut menawarkan khidmat aktiviti tidak bermoral kepada pelanggan.

"Siasatan mendapati aktiviti urutan yang bermula antara 11 hingga 4 pagi setiap hari itu menawarkan pakej urutan kaki dan badan dengan kadar bayaran RM60 hingga RM105 bagi setiap jam dan tambahan caj tertentu bergantung atas permintaan pelanggan.

"Selain itu kebanyakan tukang urut didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri semasa diperiksa malah ada juga wanita warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai tukang urut," katanya.

Menurutnya, rampasan termasuk wang tunai RM3,979, perakam kamera litar tertutup (CCTV), modem, buku catatan hasil, minyak, urut, tuala, tisu dan salinan lesen perniagaan.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Seksyen 3 (1) Undang-undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Tiada ulasan: