DSA
RAF Dassault 900LX Falco
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sistem GPS pesawat Tentera Udara British (Royal Air Force – RAF) membawa setiausaha pertahanan negara itu Grant Schapps dilaporkan telah “diganggu” (jamming) semasa ia melalui ruang udara wilayah Kaliningrad milik Russia.
Media-media Britain dan sumber pertahanan negara itu menyalahkan Russia atas insiden yang dianggap sebagai “amat tidak bertanggungjawab” dan mendedahkan pesawat milik RAF serta penumpangnya kepada risiko bahaya yang tinggi.
Mereka mendakwa apa yang dialami oleh pesawat RAF membawa setiausaha pertahanan Britain itu adalah serangan peperangan elektronik (Electronic Warfare – EW) oleh pihak Russia.
“Akibat serangan elektronik daripada Russia itu, telefon-telefon pada pesawat itu gagal dihubungkan dengan sistem WIFI, selain menyebabkan pesawat itu terpaksa menggunakan sistem navigasi yang lain untuk memastikan ia sampai ke destinasi dengan selamat,” menurut laporan oleh media Britain.
Ketika kejadian pesawat RAF membawa setiausaha pertahanan Britain itu sedang dalam penerbangan pulang selepas berada di Poland untuk menyaksikan latihan perang besar-besaran NATO di Poland.
Setiausaha Pertahanan Britian Grant Schapps ketika melawat anggota tentera Britain di Poland.
Ketika berada di ruang udara wilayah Kaliningrad, sistem Global Positioning System (GPS) milik pesawat Dassault 900LX Falcon dinamakan “Envoy” milik RAF itu telah diganggu oleh serangan elektronik selama 30 minit ketika ia berada di ruang udara wilayah Russia itu.
Kaliningrad itu berada di antara Poland dan Lithuania.
Setiausaha Pertahanan Britain itu diberikan jaminan oleh pegawai-pegawainya bahawa serangan elektronik oleh Russia itu tidak mengancam keselamatan pesawat membawanya itu.
Bagaimana sumber pertahanan Britain sebagaimana dipetik oleh media-media negara itu menyatakan bahawa walaupun RAF bersedia untuk menghadapi situasi itu, namun ia tetap menimbulkan risiko tidak sepatutnya kepada pesawat awam.
“Ia berkemungkinan boleh mendatangkan bahawa kepada nyawa penumpang. Tiada alasan untuk kejadian itu dan adalah amat tidak bertanggungjawab di pihak Russia, “ kata sumber pertahanan Britain itu.
Pesawat RAF Dassault 900LX Falcon
Satu lagi sumber menyatakan bahawa insiden serangan elektronik atau “jamming” sering berlaku terhadap pesawat-pesawat yang melalui ruang udara Kaliningrad.
Insiden yang menimpa pesawat membawa setiausaha pertahanan Britain Grant Schapps di ruang udara Kaliningrad itu bukanlah kali pertama dialami oleh pesawat-pesawat negara itu.
Pada 2021, pesawat-pesawat yang baru sahaja meninggalkan pangkalan udara RAF di Akrotiri di Cyprus dilaporkan berhadapan dengan serangan elektronik Russia sehingga menyebabkan sistem GPS mereka gagal berfungsi.
Pesawat-pesawat yang terlibat itu dikatakan adalah Eurofighter Typhoon dan F-35 serta pesawat pengangkut A400M.
Walaupun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kerosakan atau kemalangan terhadap pesawat-pesawat kombat Britain, namun pihak British menuduh Russia bertanggungjawab melakukannya terutama anggota tenteranya yang ditempatkan di Syria.
Sistem “Krasukha EW” tentera Russia
Poland dan beberapa negara Baltik juga melaporkan peningkatan insiden-insiden gangguan GPS sejak beberapa bulan lepas.
Institut Kajian Perang (Institute for the Study of War) dalam laporannya menyatakan bahawa kawasan-kawasan di utara dan timur Poland berhadapan dengan gangguan GPS yang dipercayai berpunca daripada serangan elektronik Russia.
Dengan peningkatan penggunaan dron dalam konflik di antara Russia-Ukraine, penggunaan peperangan elektronik seperti “jamming” sistem GPS telah mencatatkan peningkatan bukan sahaja di Ukraine tetapi juga negara-negara sekitarnya. — DSA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan