"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Degil betul 'pak Arab', masih jual shisha walau dilarang

Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my
DR NORHAYATI (kanan)memeriksa peralatan shisha di sebuah restoran Arab ketika menyertai Ops Tempat Makan di Cyberjaya. FOTO Samadi Ahmad
DR NORHAYATI (kanan)memeriksa peralatan shisha di sebuah restoran Arab ketika menyertai Ops Tempat Makan di Cyberjaya. FOTO Samadi Ahmad
Cyberjaya: Degil dan masih lagi menawarkan khidmat menghisap shisha di restoran walaupun ditegah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Itu antara tindakan segelintir pengusaha restoran makanan Timur Tengah yang dikenakan kompaun beberapa kali kerana mengulangi tindakan sama di sini.

Terbaru pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan operasi Ops Tempat Makan bagi mengesan peniaga engkar terbabit.

Dalam operasi bermula jam 5 petang kelmarin, terdapat kakitangan kedai yang menyediakan shisha kepada pelanggan melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, terdapat enam restoran Arab yang menyediakan perkhidmatan shisha di kawasan itu dan kesemuanya pernah dikompaun atas kesalahan sama.

Menurutnya, bagi kesalahan menghisap sisha di tempat larangan, penghisap dan pengusaha restoran boleh dikompaun RM250.

Katanya, sebanyak enam notis kesalahan dikeluarkan bagi kesalahan berkaitan merokok shisha sepanjang operasi sejak Khamis lalu..

Tinjauan mendapati, terdapat kalangan pengusaha premis menyediakan shisha berhampiran tong sampah sisa makanan.

Dr Norhayati berkata, KKM akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi membincangkan tindakan-tindakan lain yang boleh dikenakan kepada pengusaha degil.

Katanya, KKM hanya boleh mengeluarkan notis kompaun manakala tindakan sita peralatan shisha dan tindakan lain kepada pengusaha yang masih berdegil adalah di bawah kuasa PBT.

"KKM juga bercadang mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha restoran Arab yang menawarkan perkhidmatan ini bagi memastikan mereka memahami peraturan dan larangan di tempat awam," katanya.

Dalam perkembangan lain Dr Norhayati berkata, individu yang didapati menghisap rokok elektronik (vape) di tempat larangan turut akan diambil tindakan.

"Sekiranya ujian mendapati cecair vape itu mengandungi nikotin berasaskan tembakau maka kompaun akan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau (2004)," katanya.

Tiada ulasan: