"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ini hilang sebelum ke kelas fardu ain

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
MOHAMAD Aminuddi dilaporkan hilang semasa berada di kawasan tempat kerja ibunya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ibrahim.
MOHAMAD Aminuddi dilaporkan hilang semasa berada di kawasan tempat kerja ibunya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ibrahim.
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang semasa berada di kawasan tempat kerja ibunya di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Bapanya, Ibrahim Syed Mohammed Mossadeg, 40, berkata, anaknya, Mohamad Aminuddin, 11, berada di tempat kerja isterinya untuk menukar pakaian bagi menghadiri kelas fardu ain jam 1.30 tengah hari.

"Memang sudah rutin harian Aminuddin untuk menukar pakaian di sana sebelum ke kelas fardu ain memandangkan sekolahnya berhampiran dengan tempat kerja isteri.

"Selepas menukar baju, Aminuddin meninggalkan beg di pondok pengawal sebelum pengawal keselamatan bertugas memaklumkan perkara itu kepada isteri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibrahim berkata, isteri yang bergegas ke pondok pengawal mendapati Aminuddin sudah tiada di kawasan berhampiran dan memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Saya terus bergegas mencarinya di kawasan sekitar, namun tiada kelibatnya. Malah, saya juga bertanyakan kepada rakannya tetapi tiada yang tahu keberadaan Aminuddin.

"Selepas usaha mencarinya gagal, saya terus membuat laporan berhubung kehilangan anak sulung daripada tiga beradik itu di Balai Polis Dang Wangi," katanya.

Beliau yang juga pesara tentera berkata, kali terakhir Aminuddin dilihat memakai baju T berkolar warna merah serta seluar hitam sebelum menghilangkan diri.

"Saya bimbang keadaannya di luar sana yang hanya sehelai sepinggang. Aminuddin memang sedikit sensitif tetapi dia tidak pernah buat seperti ini (menghilangkan diri).

"Saya merayu kepada Aminuddin supaya pulang ke rumah atau pergi semula ke tempat kerja ibunya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Aminuddin boleh menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Tiada ulasan: