"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi kejutan, menteri pecat jemaah pengarah Nafas

B Nantha Kumar
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memecat seorang anggota jemaah pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Pemecatan Fairuz Bandar, salah seorang daripada 16 AJP, itu dimaklumkan Mohamad kepada Pengurus Besar Muhammad Faris Arriffin melalui surat bertarikh 23 Oktober.

Ia dibuat sehari penyebaran kenyataan media dikatakan daripada AJP yang ‘menggantung’ tugas Faris atas dakwaan siasatan salah guna dana. 

Nafas menafikan penggantungan itu.

Menurut sumber Nafas, pemecatan Fairuz dibuat susulan “semakan semula komposisi AJP”.

Sumber juga berkata Mohamad mempunyai kuasa untuk melantik enam AJP.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, seorang jurucakap kementerian mengesahkan kesahan surat tersebut.

"Ya benar. 

“Tuan Fairuz Bandar dari Upko (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) akan digantikan oleh Pangiran Lalung, juga dari parti Upko," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan sebab penggantian itu, termasuk sama ada ia mempunyai kaitan dengan ketegangan dalaman badan itu.

Sejak minggu lepas, Nafas dikejutkan dengan kontroversi badan induk persatuan peladang itu, bermula dengan dakwaan penggantungan Faris yang ketua pemuda Amanah Wilayah Persekutuan.

Komunikasi Korporat Nafas telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan itu dan Faris pula mengeluarkan surat tuntutan guaman (LOD) kepada pihak tertentu.

Terbaru hari ini, AJP Mohamad Zamir Ghazali mengkritik keras dan  menggambarkan badan induk persatuan peladang itu sebagai gagal dalam segala bidang.

“Berniaga ayam rugi. Ternak ayam rugi. Jual jentera rugi. Bina kolej sendiri rugi. Buat pemasaran produk asas tani rugi. Sewakan bangunan rugi,” katanya.

Nafas diterajui oleh Mohamad yang juga presiden Amanah.

Ia dianggotai oleh 14 buah pertubuhan peladang negeri, yang dianggotai oleh 279 pertubuhan peladang kawasan dan mempunyai keanggotaan lebih 900,000 orang.

Nafas menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian dan mempunyai belasan syarikat.

Tiada ulasan: