"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Buang puntung rokok ke luar tingkap punca trak pikap meletup

KOSMO
Keadaan trak pikap tersebut ketika terbakar. - Khaosod
BANGKOK – Sebuah trak pikap meletup sebelum terbakar selepas pemandunya membuang puntung rokok ke luar tingkap ketika memandu, lapor laman berita Thaiger semalam.

Kejadian berlaku di Ban Khai, wilayah Rayong, semalam.

Menurut seorang pegawai polis, Chanatchai Wongsrivichit, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) yang memberitahu bahawa kebakaran sebuah kenderaan berlaku di persimpangan Jalan Rayong-Ban Bueng.

Sejurus tiba, sebuah trak pikap Toyota sedang terbakar, namun pemandunya sempat keluar dari kenderaan tersebut.

Menurut pemandunya, Noppachai Ladawongdee, 52, dia membawa sebanyak 240 tin cat dan sebilangan perkakasan yang ditutup dengan kain terpal.

Ketika memandu, dia menghisap rokok sambil membuka tingkap.

Dia tidak menyedari bahawa puntung rokok yang dibuang ke luar tingkap jatuh di bahagian belakang trak, menyebabkan kebakaran tercetus.

Tambah Noppachai, selepas menyedari api muncul di belakang trak, dia memberhentikan kenderaannya dan cuba memadamkan kebakaran.

Namun, api yang merebak dengan pantas membuatkan Noppachai melarikan diri sebelum letupan berlaku.

Siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran berlaku disebabkan puntung rokok yang mendarat di atas kain terpal sebelum mengenai tin cat. 

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran. – AGENSI

Tiada ulasan: