"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Syarikat lombong bijih di Gua Musang diarah hentikan operasi

Malaysiakini 

Selepas didedahkan Malaysiakini, dua syarikat perlombongan bijih besi yang disyaki menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik, Gua Musang, Kelantan, diarahkan supaya menghentikan aktiviti mereka.

Kementeria Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) berkata arahan itu dibuat melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdasarkan siasatan yang dijalankan terhadap pematuhan kedua-dua syarikat terbabit terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata siasatan mendapati Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd telah menjalankan aktiviti berkenaan tanpa mendapat kelulusan di bawah subseksyen 34A(3).

Jelasnya, kertas siasatan akan dibuka serta-merta mengikut subseksyen 34A(6).

Bagi syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn Bhd) pula, kata Nik Nazmi, hasil siasatan mendapati premis terbabit tidak beroperasi, justeru tiada sebarang kerja-kerja mengorek bijih besi atau memproses bijih besi dijalankan.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut Akta 127 sekiranya didapati penggerak projek gagal mematuhi mana-mana syarat kelulusan laporan EIA bagi memastikan pelaksanaan projek dapat mengurangkan dan meminimumkan kesan kepada reseptor sensitif alam sekitar.

“JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan supaya menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada pihak Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd sehingga laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan.

“Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta 127 akan diambil tindakan perundangan yang tegas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Minggu lalu Malaysiakini melalui Kini News Lab melaporkan kebimbangan penduduk Orang Asli Temiar di kawasan berhampiran yang didakwa berdepan pencemaran Sungai Kelaik yang mengancam kesihatan dan nyawa mereka.

Aktiviti perlombongan itu dipercayai menyebabkan sungai berkenaan mengalami pencemaran dengan keracunan kromium.

Nik Nazmi berkata bagi kes berkenaan pesalah berhadapan dengan hukuman penjara mandatori selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta jika disabitkan kesalahan.

Justeru katanya, kementerian komited dan mengambil tindakan tegas dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar.

Tiada ulasan: