"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PU Azman dipenjara 7 tahun, 2 sebatan atas kesalahan amang seksual terhadap 2 remaja

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias yang lebih dikenali PU Azman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja bawah umur dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Surita Budin, turut memerintahkan Azman menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.

Surita berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

Azman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua mangsa lelaki berusia 16 dan 17 tahun di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai antara 8.30 malam hingga 5 pagi 5 Feb 2022 dan 6 Julai 2022.

Peguam Mohamad Zahid Ahmad dalam rayuan berkata, pengakuan salah anak guamnya menjimatkan masa semua pihak tanpa perlu menyambung perbicaraan.

Katanya, duda yang telah insaf itu memohon ampun dan maaf atas kesalahannya.

“Tertuduh mohon hukuman pemenjaraan paling minimum dari tarikh jaminan 9 Okt lalu. Dia dipenjara dari 27 Sept lalu dan sehingga kini masih menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan di mahkamah Klang,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, tertuduh tiada kesalahan lain dan tidak pernah disabitkan sebarang kesalahan di mahkamah sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, berkata pengakuan salah tertuduh bukan faktor untuk meringankan hukuman dan hukuman berbentuk pengajaran perlu diberikan kepada tertuduh serta masyarakat secara amnya.

“Tertuduh merupakan pendakwah selebriti yang mana perbuatan tersebut tidak harus dilakukan oleh tokoh pendakwah seperti beliau terhadap kanak-kanak.”

Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan selepas terhadap Azman yang didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja dua tahun lalu.

Menurut laporan, Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan

Pada 6 Dis lalu, Mahkamah Majistret Klang pula menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Azman yang mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja pada 10 Jun 2022.

Tiada ulasan: