Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
Marang: Hubungan PAS dan BERSATU diibaratkan sebagai retak menanti belah berikutan dua Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) parti itu tidak mahu menarik balik sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan sebaliknya mengambil jalan berkecuali.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sedang mengkaji dan meneliti satu persatu tindakan negatif yang dilakukan BERSATU.
Katanya, tindakan dua ADUN daripada parti itu yang secara terbuka mengambil pendirian berkecuali dalam isu penarikan sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan boleh menjejaskan semangat setiakawan antara dalam Perikatan Nasional (PN).
"Kita tidak boleh menerima alasan mengenai penarikan semula SD kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
"Jika UMNO yang memiliki 14 kerusi DUN menarik balik sokongan kepada Aminuddin, mengapa dua ADUN daripada parti itu bertindak berkecuali," katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan PN demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, tetapi langkah itu tidak dipersetujui BERSATU.
"Kita akan kaji dan meneliti satu persatu tindakan dilakukan BERSATU untuk tindakan selanjutnya.
"Jika tindakan BERSATU boleh menjejaskan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kita akan bertindak," katanya.
Menyentuh dakwaan PAS sudah dua kali dipermainkan oleh BERSATU, termasuk kemelut di Perlis, Abdul Hadi berkata, PAS memilih untuk mengambil pendekatan bersabar, tetapi dalam masa yang sama kesabaran itu ada hadnya.
Abdul Hadi turut mendedahkan realiti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, BERSATU hanya menuntut jumlah calon, tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk bekerja.
"Mereka ada calon, tetapi petugasnya terlampau sedikit berbanding jumlah keahlian yang didakwa beribu-ribu orang, akhirnya kita mengerahkan jentera PAS turun bekerja di lapangan.
"Kita mengambil kira semua aspek ini," katanya sambil mengesahkan PAS sudah menghantar surat kepada BERSATU pada 9 Mei lalu, selain mengadakan perbincangan secara bersemuka pada mesyuarat PN.
Abdul Hadi berkata, walaupun PAS belum menetapkan tarikh akhir bagi mendapatkan jawapan daripada BERSATU, tetapi Majlis Syura Ulama dan Lajnah Pilihan Raya serta bahagian penyelidikan parti sudah diminta memperincikan isu itu.
Ketika diminta mengulas sama ada kemelut terbaru ini akan menjejaskan prestasi PN pada PRU akan datang, Abdul Hadi yakin kekuatan PAS tidak akan terjejas sama sekali dan parti itu sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
"Kita rasa tidak menjejaskan PN dan kita akan bertanding atas nama gabungan itu.
"PAS adalah penggerak utama Perikatan Nasional, dan pimpinan ada hak untuk menentukan hala tuju dalam pilihan raya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan