Malaysiakini
Polis menyiasat tindakan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah yang menembak seekor lembu korban.
Ketua Polis Daerah Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mereka akan memanggil Abu Bakar dalam masa terdekat, susulan penularan gambar dia menembak seekor lembu menggunakan senapang patah.
Yusharifuddin berkata mereka maklum berkaitan penularan video itu dan siasatan awal dimulakan, meskipun belum menerima sebarang laporan polis.
“Sama ada peluru yang digunakan itu peluru hidup atau bukan, kita masih dalam siasatan,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini, seperti dilaporkan Bernama.
Elak bahaya pada petugas, orang awam
Sementara itu, Abu Bakar berkata dia terpaksa menembak lembu itu kerana ia sedang mengamuk bagi mengelakkannya mencederakan petugas korban dan orang awam.
Pemimpin Bersatu itu berkata tembakan itu dilepaskan ke arah kaki lembu yang terlucut ikatan tali sebelum disembelih seperti biasa.
"Lembu yang kita tembak itu tidak mati, tembakan dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa.
“Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Tindakan itu, katanya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini memandangkan terdapat kes amukan haiwan korban yang meragut nyawa di negeri lain.
Kelmarin, terdapat kejadian kerbau korban mengamuk di Ulu Tiram, Johor yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera parah dalam dua kejadian berasingan.
Mangsa pertama meninggal dunia akibat ditanduk pada paha, manakala mangsa kedua patah tulang rusuk.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan