"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB Perak sahkan SU politik letak jawatan, enggan ulas dakwaan dadah

Malaysiakini

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad mengesahkan setiausaha politiknya, Hamidi Baharuddin meletakkan jawatan berkuat kuasa 17 Ogos atas faktor kesihatan namun enggan membuat spekulasi mengenai dakwaan salah guna dadah.

Mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial, Saarani berkata dia tidak mahu membuat sebarang andaian tanpa bukti daripada pihak berkuasa.

“Yang itu saya pun baca dalam media sosial.

“Selagi mana tak ada bukti oleh pihak berkuasa, sama ada Jabatan Kesihatan atau polis, saya tak mahu membuat apa-apa andaian,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Saarani berkata dia menerima surat peletakan jawatan Hamidi bertarikh 10 Ogos yang memaklumkan keputusannya serta keperluan untuk menjalani rawatan.

“Supol ada menulis surat kepada saya bertarikh 10 Ogos dan menyatakan dia mahu meletakkan jawatan yang berkuat kuasa 17 Ogos. Jadi kita pun telah menerima perletakan jawatannya.

“Dia beri alasan kesihatan, dia memerlukan masa untuk mendapat rawatan,” katanya.

Mengenai pengganti Hamidi, Saarani berkata pelantikan baru akan mengambil sedikit masa.

Hamidi, 46, dilantik sebagai setiausaha politik pada 2023 bagi menggantikan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai Sham Mat Sahat, yang tidak meneruskan tugas itu selepas berkhidmat sejak 2020.

Bekas ketua Pemuda Umno Lenggong itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai tugas-tugas khas kepada menteri besar Perak.

Ketika Saarani menjadi exco pembangunan luar bandar, pembangunan usahawan dan koperasi negeri, Hamidi berkhidmat sebagai pegawai khasnya.

Tiada ulasan: