"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakar proses dadah sejak 1990 mati ditembak

NOR SHAFAWATI YUP

SEREMBAN – Ketua sindiket pengedaran dadah negara yang aktif sejak 1990-an dan mempunyai kepakaran memproses bahan kimia merupakan individu yang ditembak polis dalam serbuan di sebuah rumah teres di kawasan Garden Homes, Seremban 2 di sini semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu pihak polis berjaya menumpaskan sindiket pemprosesan dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa menerusi ‘Op Thrips’ dengan rampasan dadah dan barangan keseluruhan bernilai RM27.6 juta.

Hussein berkata, suspek lelaki berusia 52 tahun itu maut selepas dipercayai telah bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan JSJN Bukit Aman.

“Bagi mempertahankan diri, pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan balas dan suspek kemudiannya didapati tidak sedarkan diri serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati rumah teres yang disewa suspek dijadikan makmal mini haram untuk memproses pelbagai dadah jenis MDMA termasuk cecair, pil dan serbuk dianggarkan seberat 182.39 kilogram (kg) selain turut dirampas sepucuk pistol jenis Revolver,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek utama itu yang menjadikan rumah teres itu sebagai makmal dadah sejak Januari tahun ini dikesan memperoleh ‘prekursor’ dari luar negara dan kemudian memprosesnya dengan bahan kimia menggunakan pelbagai peralatan termasuk ketuhar dan alat pengadun untuk dijadikan dadah MDMA dan Methamphetamine.

Jelas beliau, susulan daripada serbuan pertama polis telah menahan dua lagi ahli sindiket iaitu seorang wanita berusia 32 tahun dan seorang lelaki berusia 35 tahun dalam serbuan berasingan di Seremban 2 dan sebuah residensi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur semalam.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kawasan perumahan yang berkepadatan penduduk rendah sebagai lokasi pemprosesan dan pengedaran dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kita masih mengesan ahli-ahli sindiket dadah ini dan dipercayai ada yang telah melarikan diri ke luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: