Malaysiakini
"Pejabat PAS bukan pejabat imigresen akhirat untuk dapat visa syurga," sindir Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mengaitkan keahlian, undi dan sokongan kepada PAS memberi peluang mendapat syurga, Mahfuz berkata kenyataan sedemikian adalah berat dan perlu ditegur.
Katanya, PAS tidak pernah diberi mandat oleh Allah SWT untuk menentukan siapa yang akan masuk syurga.
“PAS boleh meminta rakyat menyokong PAS. PAS boleh mengajak rakyat mengundi PAS. Tetapi PAS tidak pernah diberi mandat oleh Allah SWT untuk menentukan siapa yang akan masuk syurga.
“Syurga bukan milik PAS. Syurga milik Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, jika benar satu undi kepada PAS boleh menjadi tiket ke syurga, timbul persoalan sejak bila kertas undi menjadi pasport ke akhirat dan sejak bila parti politik mempunyai kuasa menentukan destinasi akhirat seseorang.
Pada 5 Sep lalu Takiyuddin dengan tegas menjelaskan bagaimana seseorang itu akan dapat masuk ke syurga melalui perjuangan dibawa mereka.
Walaupun mengakui PAS ialah sekadar sebuah pertubuhan politik, setiausaha Agung PAS itu menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam dan selaras dengan ajaran yang diperintahkan Allah.
“Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga.
“Jadi dia (pihak lawan) kata pula (menyindir), masuk PAS ni masuk syurga…Yalah, masuk PAS (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat.
“Masuk PAS cara itu, insya-Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak. Itu pasti tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya.
Dia yang juga ahli Parlimen Kota Bharu itu membuat penegasan tersebut di hadapan lebih 500 penyokong ceramah perdana Sambutan Jubli Intan 75 tahun PAS sempena Muktamar PAS ke-75 di Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Mahfuz mengingatkan PAS jangaN kerana terlalu ghairah mengejar kemenangan politik, syurga pula dijadikan "mata wang" untuk mendapatkan undi rakyat.
Dia mempersoalkan bagaimana dengan nasib orang Islam yang tidak mengundi atau menyokong PAS sekiranya sokongan kepada parti itu dianggap membawa seseorang ke syurga.
“Kalau jadi ahli, undi dan sokong PAS membawa ke syurga, adakah orang Islam yang tidak jadi ahli, tidak mengundi dan tidak sokong PAS akan dianggap masuk neraka?” soalnya.
Mahfuz berkata Islam mengajar bahawa kedudukan seseorang di sisi Allah ditentukan berdasarkan iman, takwa, amal soleh, keadilan dan amanah serta rahmat Allah SWT, bukannya warna bendera, logo parti atau nombor calon pada kertas undi.
Katanya, kenyataan seumpama itu juga boleh mewujudkan persepsi bahawa orang Islam yang memilih parti lain seolah-olah berada di jalan yang salah dan tidak menuju syurga.
“Pejabat PAS bukan kaunter imigresen akhirat. Tunjuk sijil ahli PAS dan undi PAS dapat cop syurga.
“Ini bukan cara yang sihat untuk membawa Islam dalam politik. PAS bukan Islam. Islam jauh lebih besar daripada PAS,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan