"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Halang tugas dua anggota polis, kelindan lori meringkuk setahun dalam jel

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

MACHANG – Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menghalang tugas dua anggota polis apabila bertindak memukul kedua-dua individu itu sehingga cedera kira-kira tiga minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Aruza Mohamed Zain, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam pegawai polis iaitu Koperal Anaafiz Ismail dan Konstabel Muhammad Ammar Haziq Roslan dalam menjalankan fungsi awamnya.

Perbuatan itu dilakukan di depan sebuah rumah di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong di sini kira-kira pukul 7.30 malam pada 19 September 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqifullah Mohd. Amran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliyana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak lagi mengulangi kesalahan tersebut.

Norfaraliyana dalam rayuannya memohon hukuman penjara minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

“Tertuduh yang merupakan duda dan mempunyai empat orang anak masih bersekolah bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Tahap pendidikan tertuduh juga hanya sehingga tingkatan tiga,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 September lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak agresif dengan menendang dan menyiku seorang dua anggota polis sehingga berlaku pergelutan ketika kedua-dua penjawat awam itu ingin membuat pemeriksaan terhadapnya.

Keadaan itu menyebabkan dua anggota polis itu mengalami kecederaan pada lengan dan lutut.

Selepas ditahan, tertuduh telah mengeluarkan kata-kata kesat iaitu ‘menate mu babi, mu lepas lah aku gilo’ selain ugutan dengan berkata ‘takpo lah kawe kenal bini demo, bini demo dok Pulai Chondong ni jah, kawe tak lama kena igat ni, tubik nanti jupoh lah luar’. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: