"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kalau lah pemimpin Pas selantang ini bila Wan Ahmad Faris dibunuh kejam…’

SITI NUR ZAWANI
Aktivis politik dan bekas Peguam Kanan Persekutuan, Liyana Marzuki mempersoalkan pendirian dua pemimpin Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahmad Fadhli Shaari yang nampaknya ‘laju’ memberi respon dalam isu kematian pelajar di Yong Peng, Johor.

Liyana mempersoalkan mengapa nada perjuangan keadilan itu tidak dilihat sama kuat ketika keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman bertahun-tahun menuntut jawapan berhubung kematian anak mereka di sebuah sekolah tahfiz di Kelantan.

Kritikan itu dibuat menerusi hantaran di media sosial selepas Afnan dan Fadhli masing-masing mengeluarkan kenyataan berhubung kematian pelajar berkenaan, dengan Fadhli menggesa audit keselamatan sekolah manakala Afnan mempersoalkan tahap keselamatan institusi pendidikan. 

“Kalau lah pemimpin Pas selantang ini bila Wan Ahmad Faris dibunuh kejam.

“Kalau lah pemimpin Pas boleh bersuara kuat mendapat keadilan untuk anak tahfiz Kelantan sendiri. Untuk keluarga saman Yayasan Islam Kelantan. Tapi mereka tak endahkan. 

Politician is always a politician. Hatta yang guna nama parti Islam,” kata beliau.

Dalam hantaran sama, Liyana turut menyindir sikap pemimpin politik yang menurutnya hanya lantang apabila isu tertentu mempunyai nilai politik, dengan menyifatkan mereka sebagai “sembang kencang bila kena tang orang”.

Kenyataan Liyana itu mempunyai asas tersendiri kerana beliau pernah secara terbuka menggesa Ahmad Fadhli supaya memperjuangkan nasib Wan Ahmad Faris, sama seperti mereka memperjuangkan nasib Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. 

Ketika itu Liyana mengingatkan agar kes tersebut tidak dipandang sepi hanya kerana tiada “laba politik”.

Wan Ahmad Faris meninggal dunia pada 2013. Mahkamah Koroner pada 2016 pula memutuskan kematiannya berpunca daripada tindakan individu tidak dikenali.

Lebih 10 tahun selepas tragedi itu, keluarga masih menuntut keadilan sehingga akhirnya kes berkenaan kembali menjadi perhatian pada 2025 selepas keluarga mendesak siasatan dibuka semula dan mengambil tindakan undang-undang.

Tiada ulasan: