"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek bunuh tiga individu dakwa lakukan jenayah demi misi permainan

Agensi
SUSPEK ditahan polis. FOTO Agensi
SUSPEK ditahan polis. FOTO Agensi
Hanoi: Le Sy Tung, suspek yang ditahan kerana membunuh tiga individu di sebuah pusat pembelian hasil pertanian di Wilayah Dong Nai membuat pengakuan kepada pihak penyiasat dia melakukan jenayah bagi menyempurnakan misi dalam satu permainan.

Portal Vietnam Net melaporkan, pihak berkuasa menahan Tung, 33, selepas operasi menjejakinya dijalankan selama dua hari.

Siasatan diketuai Polis Wilayah Dong Nai dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah bawah Kementerian Keselamatan Awam.

Petang Sabtu, puluhan pegawai mengepung ladang di Wad Phuoc Binh, Pekan Phuoc Long (dahulunya Wilayah Binh Phuoc), tempat Tung bersembunyi selepas melarikan diri dari lokasi kejadian.

Ketika pemeriksaan, polis menemui pelbagai komponen senjata api, bom tangan asap, pita pelekat hitam, penyenyap bunyi, skop dan bahan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

Siasatan awal menunjukkan Tung sangat ketagih permainan video.

Dia mengaku pembunuhan didorong misi diberikan kepada pemain di dalam permainan itu.

Tung juga memberitahu pihak berkuasa dia menggunakan beg kain menadah kelongsong peluru supaya tidak jatuh ke tanah dengan tujuan hapuskan bukti dan mengganggu siasatan.

Kes masih dalam siasatan sementara polis berusaha mengenal pasti asal usul senjata api, proses perancangan serta menilai keadaan psikologi suspek.

Jenayah yang mengejutkan itu berlaku pada pagi Sabtu selepas penduduk menemukan tiga mayat di pusat pembelian hasil pertanian TH di Komun DaK Nhau, Wilayah Dong Nai.

Mangsa dikenal pasti DDT (lahir 1978, pemilik premis), isterinya CHH. (lahir 1977) dan cucu lelaki mereka DTT. (lahir 2014).

Pemeriksaan forensik awal mendedahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tembakan di kepala.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi merakamkan seorang individu bertopi keledar, penutup muka penuh dan pelitup muka memasuki premis pada waktu kejadian pembunuhan berlaku.

Susulan penemuan itu, Polis Dong Nai dan Kementerian Keselamatan Awam melancarkan siasatan segera serta operasi mengesan suspek.

Memandangkan kes ini serius, Timbalan Menteri Keselamatan Awam Nguyen Van Long secara peribadi mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi selesaikan kes jenayah. 
-hmetro

Tiada ulasan: