"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis disyaki menghina ketika melancong di China disiasat

KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap seorang anggotanya yang disyaki menghina masyarakat tempatan ketika melancong ke China, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, selain pelanggaran tatatertib, siasatan turut meliputi sebarang kemungkinan kesalahan di bawah undang-undang sekiranya terdapat unsur berkenaan.

“Kita telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan tatatertib terhadap anggota yang berkenaan. Bukan sahaja daripada sudut tatatertib, jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Pesara Polis Malaysia (RESPA) Kali Ke-42 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Khalid mengingatkan semua pegawai dan anggota PDRM supaya sentiasa menjaga tatasusila, disiplin serta imej pasukan, sama ada ketika bertugas di dalam mahupun di luar negara.

“Sebagai anggota beruniform, kita terikat dengan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) pasukan, walaupun tidak memakai uniform,” ujarnya.

Mohd Khalid berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan telus sebelum sebarang keputusan atau tindakan lanjut diambil terhadap anggota terbabit.

Sebelum ini, kecoh di media sosial susulan video tular memaparkan beberapa wanita berkelakuan dan mengeluarkan perkataan tidak senonoh sambil menutup hidung seolah-olah menyindir masyarakat tempat di negara tersebut.

Video tersebut yang turut mendapat liputan di luar negara menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan ia sebagai tindakan yang memalukan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: