Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Polis menahan dua lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes kecurian minyak enjin motosikal di sebuah stesen minyak di Kanchong, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.01 petang daripada wanita berusia 31 tahun.
Beliau berkata, pengadu memaklumkan seorang lelaki mengambil tiga botol minyak enjin motosikal bersaiz satu liter dan keluar dari premis tanpa melakukan pembayaran.
"Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai cermin mata hitam, baju lengan pendek dan seluar jean mengambil minyak dari rak jualan.
"Dia kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta curi jenis Perodua Myvi," katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Mohd Akmalrizal berkata, bertindak atas maklumat polis berjaya menahan dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an di medan selera Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Katanya, seorang lagi suspek masih bebas dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan" katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan