MOHD YUNUS YAKKUB
SHAH ALAM – Pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sebuah kondominium di Bandar Sunway dekat sini semalam dipercayai berpunca daripada konflik hubungan dan masalah kewangan antara mangsa dengan teman lelakinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki berusia 20an yang ditahan mempunyai hubungan rapat dengan mangsa dan kedua-duanya dipercayai tinggal bersama di kediaman berkenaan.
“Pada peringkat siasatan awal pihak polis berpendapat motif kejadian lebih kepada isu peribadi iaitu hati dan perasaan dan perbelanjaan harian melibatkan mangsa dan suspek.
“Kedua-dua mereka menjalinkan hubungan dan tinggal serumah,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Selangor.
Menurut beliau, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal forensik mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan luaran pada badan, namun punca sebenar kematian hanya dapat disahkan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
“Buat masa ini saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai kecederaan sama ada ditusuk atau ditikam kerana laporan penuh bedah siasat masih belum diperoleh,” ujarnya.
Shazeli berkata, suspek yang ditahan kini merupakan individu utama yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan setakat ini tiada suspek lain dikenal pasti.
Namun katanya, siasatan masih diteruskan dan semua sudut akan diteliti.
“Keterangan telah diambil daripada jiran mangsa dan suspek tersebut. Siasatan juga masih dijalankan berapa lama mereka telah menuntut di IPTS dan jurusan yang diambil,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita warga asing ditemukan tidak bernyawa dengan beberapa kesan kecederaan pada badan dalam kejadian di sebuah kondominium di Bandar Sunway, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 20-an merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di daerah ini.
Susulan itu, seorang lelaki warga asing di lokasi yang sama bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan