Amira Suraini Che Mohamad
ARAU: Niat sekadar bergurau membawa padah apabila seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat mengalami kecederaan pada lengan kiri selepas ditekap dengan mata pisau yang dipanaskan oleh rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.
Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari pada 15 Jun lalu itu dipercayai berlaku ketika pelajar daripada beberapa kelas digabungkan untuk mengikuti mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata siasatan mendapati suspek yang juga pelajar berusia 16 tahun dipercayai mengambil mata pisau jenis ‘blade’ yang disimpan di dalam almari kelas sebelum mengasahnya pada lantai sehingga menjadi panas.
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak menarik lengan kiri mangsa dan menekapkan mata pisau berkenaan pada lengan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka melecet berukuran kira-kira empat sentimeter kali satu sentimeter pada lengan kiri.
“Mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada guru kelas sebelum pulang ke rumah dan menceritakannya kepada ibunya,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Menurut Ahmad Mohsin, pihak sekolah menerima aduan daripada waris mangsa pada keesokan harinya sebelum menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu, namun mendakwa tindakannya dilakukan sekadar untuk bergurau.
“Siasatan setakat ini mendapati tiada sebarang pertengkaran atau perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang boleh dikaitkan sebagai punca kejadian,” katanya.
Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu melalui talian kecemasan MERS 999 pada 16 Jun lalu sebelum membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas sebilah pisau utiliti berwarna perak sepanjang kira-kira 19 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan