"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bela 436 ular sawa dalam rumah, lelaki dipenjara

Agensi
Kotak plastik yang ditemui di rumah Guo yang setiap satunya menempatkan seekor ular sawa. Foto tangkap layar tular
Kotak plastik yang ditemui di rumah Guo yang setiap satunya menempatkan seekor ular sawa. Foto tangkap layar tular
Taizhou, China: Seorang lelaki yang tinggal bersendirian di timur China dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah membiak lebih 300 ular sawa di dalam rumahnya, lapor South China Morning Post.

Kejadian mengejutkan itu didedahkan oleh media rasmi kerajaan, CCTV pada akhir Jun sebagai kes berkaitan jenayah yang mendatangkan kemudaratan serius terhadap hidupan liar yang jarang ditemui dan terancam.

Di China, ular sawa diklasifikasikan sebagai haiwan dilindungi Gred Dua dan undang-undang negara berkenaan melarang keras sebarang aktiviti membeli, menjual, membiak serta mengangkut spesies ini tanpa kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa.

Kegiatan haram itu mula dikesan pihak polis selepas seorang warga emas di wilayah Zhejiang menemukan seekor ular besar di kaki sebuah gunung tempatan pada Mac 2024.

Warga emas berkenaan melaporkan penemuan itu kepada pihak berkuasa selepas mengesyaki reptilia berwarna kuning keperangan itu yang bersaiz sebesar lengan orang dewasa sebagai sesuatu yang luar biasa di kawasan berkenaan.

Pegawai polis mengesyaki ular itu melarikan diri daripada pembiaknya memandangkan ia bukan spesies asli di situ selain tabiat ular yang lazimnya tidak aktif di kawasan liar pada Mac.

Seorang pakar penjagaan ular profesional yang dirujuk oleh polis turut memberikan petunjuk penting bahawa ular sawa memerlukan persekitaran yang sentiasa panas dan lembap.

Keadaan itu menandakan pembiaknya berkemungkinan menggunakan jumlah tenaga elektrik yang besar bagi memastikan suhu kolam atau bilik kekal antara 20 hingga 30 darjah Celsius.

Polis kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap penduduk berhampiran berdasarkan corak penggunaan elektrik mereka sebelum akhirnya berjaya mengenal pasti seorang lelaki tanpa pekerjaan bernama Guo sebagai suspek utama.

Hasil risikan mendapati seorang lelaki bernama Di kerap mengunjungi rumah Guo untuk menghantar bungkusan kurier yang mengandungi tikus putih kecil yang dibeli secara dalam talian.

Guo juga didapati pernah memuat naik beberapa gambar ular di media sosialnya manakala rekod transaksi turut menunjukkan Di pernah menjual dua ular sawa kepada individu lain pada harga 1,000 yuan (kira-kira RM650).

Mahkamah tempatan menjatuhkan hukuman penjara ke atas Guo, Di, dan pembekal ular Deng selepas kes itu terbongkar membabitkan 436 ular sawa yang dianggarkan bernilai lebih 30 juta yuan (kira-kira RM19.5 juta).

Tiada ulasan: