Muhaamad Hafis Nawawi

Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta yang terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur keluar Jalan Kuching. – Foto ihsan Bomba
KUALA LUMPUR: Dua individu rentung, manakala seorang lagi terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur keluar Jalan Kuching, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.20 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang serta BBP Sri Hartamas ke lokasi.
Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd Fadzlil Jamaludin berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terbabas sebelum terbakar.
“Seramai tiga mangsa terbabit dalam kejadian itu. Dua mangsa rentung akibat tersepit dalam kereta yang terbakar, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kereta itu musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang terselamat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Punca kebakaran dan kemalangan masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM Kuala Lumpur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan