"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perselisihan faham 2 penunggang motosikal cetus kemalangan

Amirul Aiman Hamsuddin
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah motosikal merempuh belakang sebuah kereta di Kilometer 8 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Ahad lalu -Foto tular
KUALA SELANGOR: Perselisihan faham antara dua penunggang motosikal dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengakibatkan dua individu cedera di Kilometer 8 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Kejadian berkenaan tular selepas rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan sebuah motosikal merempuh bahagian belakang sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.36 malam membabitkan dua motosikal Yamaha Y15ZR.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Iriz dipandu seorang wanita di lorong kiri dari Kuala Lumpur ke Kuala Selangor.

“Setibanya di lokasi, kenderaan itu dilanggar dari belakang oleh motosikal yang dinaiki seorang lelaki dan wanita,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, impak kemalangan mengakibatkan penunggang dan pembonceng cedera sebelum kedua-duanya dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.

“Kemalangan ini berlaku susulan perselisihan faham antara kedua-dua penunggang ketika dalam perjalanan ke Kuala Selangor.

“Tindakan itu mengakibatkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang Proton Iriz yang berada di hadapannya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Sarjan Shamsudin Wahab di talian 012-6102473 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di talian 03-3289 1222.

Tiada ulasan: