"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMK Kepada Bekas Ketua: Bangkit Siasat Najib!

Angkatan Muda Keadilan menggesa Senator Ezam Mohd Noor supaya menggerakkan kempen terhadap Presiden Umno Najib Abdul Razak yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi.

Senator Umno itu disaran mendesak satu siasatan telus, terbuka dan terperinci dijalankan menyiasat isu pemberian komisyen RM520 juta kapal selam Scorpene, pemberian lesen judi sukan kepada hartawan Vincent Tan, serta skandal membabitkan wanita warga Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Jika tidak, kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin, maka Ezam Mohd Noor membuktikan bahawa beliau kini tidak lebih dari kuda tunggangan cita-cita Umno merampas Selangor.

Shamsul berkata orang pertama yang harus diselidikinya ialah 'tuannya' sendiri, serta skandal-skandal lain membabitkan pimpinan Umno-BN, seperti mahligai bekas Menteri Besar Dr Khir Toyo, serta skandal penjualan peralatan nuklear kepada Libya.

Beliau melahirkan rasa terkilan dengan perubahan sikap Ezam Mohd Noor yang rakus menyerang Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tetapi menikus di hadapan pemimpin Umno.

"Beliau sepatutnya bercakap tentang Perdana Menteri itu sendiri.Dalam kes PI Bala misalnya. Jelas ada sumbangan, jelas ada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan tetapi SPRM sehingga sekarang masih belum selesai penyiasatan," tegas Shamsul.

Senator Ezam, yang terkenal dengan kotak-kotak rahsia mengandungi butiran rasuah pimpinan-pimpinan Umno semalam melibatkan diri dalam kempen merampas kembali Selangor bersama-sama Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Seri Noh Omar.

Umno mendakwa Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) telah disalahguna untuk membiayai jentera Pakatan Rakyat menghadapi pilihanraya akan datang. Umno turut mendakwa KSSB mengamalkan kronisma, dakwaan yang dibidas keras oleh Kerajaan Negeri.

Kedua-dua pemimpin Umno itu bagaimanapun tidak mengesahkan fakta bahawa keseluruhan jumlah royalti dan keuntungan sebelum cukai yang diraih kerajaan negeri dan KSSB telah meningkat sebanyak 86.1 peratus dari RM4.39 juta pada 2007 dibawah BN kepada RM8.17 juta pada 2008 dalam masa sesingkat 9 bulan dibawah Pakatan Rakyat.

Bahkan, keuntungan industri pasir Selangor terus meningkat kepada RM13.76 juta pada 2009. Bagi suku pertama 2010 sahaja, Kerajaan Negeri telah mengaut sebanyak RM15.3 juta.

Barisan Nasional tumpas di negeri terkaya di Malaysia ini dalam pilihanraya umum ke-12, 8 Mac 2008, dan melipat-gandakan usaha untuk merampas Selangor selepas berjaya menggulingkan kerajaan negeri di Perak.

Difahamkan program berkenaan turut diadakan di Klang dan bakal disusuli 17 siri ceramah lagi di seluruh negeri Pakatan itu sehingga 8 Ogos ini.

"Mereka mahu selamatkan Umno dari apa? Mahu selamatkan Selangor dari ancaman urustadbir yang bersih dan telus? Kalau kita lihat laporan Audit Negara, Selangor diberi taraf 4 bintang, menunjukkan betapa licinnya jentera pentadbiran Selangor mengurus wang rakyat," tegas Shamsul.

"Kempen mereka itu menunjukkan bahaawa media yang saban hari digunakan menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid telah gagal," tambah beliau.

Shamsul yakin Umno semakin resah kerana Selangor adalah lubuk emas yang menjana kemewahan untuk kroni-kroni pemerintah.

"Noh Omar, dengan disokong Datuk Najib selaku Pengerusi Umno Selangor, menggunakan tokoh-tokoh yang dahulunya bersama kita dalam gerakan rakyat untuk menyerang Pakatan Rakyat," ujar Shamsul.

"Saya yakin ada kelompok-kelompok Khir Toyo yang akan menyerang balas dan akan berlaku lagi perpecahan di dalam UMNO Selangor itu sendiri," katanya lagi.

Kenyataan Hassan dedah Harussani berbohong

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 25 Julai:
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menuntut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada PAS dan seluruh orang Melayu Islam berikutan penjelasan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang menunjukkan mufti itu berbohong.

Sambil menyifatkan Harussani melakukan pembohongan yang memalukan, Mahfuz berkata, pengakuan Dr Hassan yang menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Harussani tidak ada agenda khusus membincangkan penyatuan Umno dan PAS sekaligus mendedahkan kedudukan dan peranan Harussani sebagai alat dan pencacai Umno.

"Kenyataan Dr Hassan jelas mendedahkan pembohongan seorang mufti seperti Harussani. Pembohongan Harussani serta kesediaan beliau menjadi pencacai Umno sangat memalukan ulama khususnya para Mufti yang ada di Malaysia.

"Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak berbohong. Sedangkan pendedahan Dr Hassan memperjelaskan pembohongan Harussani," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menggesa Harussani tidak membiarkan dirinya terus menjadi pecacai Umno yang sedang tenat dan nazak.

Menurut Mahfuz, berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Dr Hassan, amat jelas bahawa pertemuan tersebut langsung tidak menyentuh soal kerjasama PAS dan Umno.

"Pertemuan tersebut sempena mesyuarat kebangsaan hal ehwal Islam. Dr Hassan juga menyatakan beliau tidak pernah dimandatkan oleh PAS untuk membincangkan dengan Harussani isu kerjasama PAS dan Umno," kata Mahfuz.

Rumah pangsa: Adun nafi laporan akhbar

Mohd Ali Hashim
GEORGETOWN, 25 Julai:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Sim Tze Tsin menafikan dakwaan laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris yang menyatakan bahawa beliau melarang pembinaan rumah pangsa kos rendah yang keluasannya kurang 700 kaki persegi di Pulau Pinang.

Menurut Sim lagi, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan ia memberi satu gambaran yang salah dan menyimpang.

Dalam laporan tersebut beliau didakwa menyatakan larangan tersebut adalah disebabkan oleh kebanyakan rumah pangsa berada dalam keadaan yang tidak memuaskan seperti kotor, tidak terurus dan mencacatkan pemandangan.

Beliau juga dilaporan mencadangkan supaya bayaran pampasan diberikan oleh pemaju kepada penduduk setinggan bagi membina rumah baru untuk mereka berdekatan dengan kawasan asal atau setinggan penduduk tersebut.

"Sebenarnya apa yang dicadangkan ialah pemaju membina rumah mampu milik dalam keadaan yang lebih selesa kepada rakyat yang majoritinya adalah diluar kemampuan 70 peratus penduduk Pulau Pinang.

"Sepatutnya rumah yang dibina oleh pemaju berukuran 600 hingga 700 kaki persegi dengan harga RM 40 ribu seunit. Rumah-rumah ini adalah popular kepada rakyat terutamanya golongan muda kerana ramai yang tidak mampu untuk memiliki di kawasan industri khususnya yang mencecah harga antara RM 600 ribu atau lebih, manakala bagi pangsapuri pula adalah melebihi RM350 ribu," katanya sebagai mengulas laporan akhbar tersebut.

Beliau yang juga merupakan anggota jawatankuasa Jabatan Perumahan Negeri Pulau Pinang menggesa pemaju supaya membina rumah mampu milik yang memberi banyak peluang kepada rakyat negeri ini memiliki rumah.

"Laporan yang tidak benar ini akan memberi satu gambaran yang salah. Oleh kerana itu penafian ini adalah untuk membetulkan laporan yang salah itu supaya mesej sebenar mengenai pembinaan rumah mampu milik adalah untuk kesejahteraan rakyat negeri ini di samping memberi peluang mereka memiliki rumah dengan harga yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah," tambahnya lagi.