Noor Sara Mohamad Hanif

Seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan rangka manusia di Kangar. – Foto NSTP
KANGAR: Seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Oktober bagi membantu siasatan kes penemuan rangka manusia.
Suspek berusia 38 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar di sini pada jam 9.46 pagi sebelum dibawa keluar selepas prosiding permohonan reman selesai pada jam 10.09 pagi.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Natasha Rizal bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan pada jam 12 tengah hari semalam di sebuah rumah di Kuala Perlis.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah telefon pintar dan sekeping kad SIM dalam serbuan itu bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang pengakuan diperoleh daripada suspek yang mendakwa hanya mengetahui mengenai kejadian penemuan rangka itu melalui kumpulan aplikasi WhatsApp sahaja.
“Suspek bekerja sebagai buruh kontrak dan pernah bekerja di kawasan Sungai Limau serta Kota Sarang Semut, Kedah, sejak dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Yusharifuddin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2022.
Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah. Sebelum ini, media pada 29 September lalu melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Mohd Ilyas Mohd Islam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada 26 Julai lalu, rangka tulang manusia pertama ditemukan di dalam bungkusan guni yang sudah reput di sebuah kebun berhadapan kilang beras di Kampung Behor Mali, di sini.
Kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, satu lagi guni berwarna putih yang mengandungi sisa tulang manusia ditemukan di kawasan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan pertama, pada 5 Ogos lalu.
Susulan penemuan itu, polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan