Muhamad Lokman Khairi

Pemandu kereta eletrik didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian budak berusia 5 tahun di Jalan Kuching tiba di mahkamah. – Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Pemandu kereta elektrik yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Sabtu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya.
Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
“Tidak mengaku salah,” katanya ketika berdiri di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, Raeven didakwa memandu kereta berkenaan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, di sini, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, pegawai bank itu didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Raeven didakwa gagal berhenti selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di lokasi dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, mencadangkan jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Beliau turut memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai, selaras dengan Seksyen 41(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Sementara itu, peguam bela tertuduh, Kailash Sharma, memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan minimum dengan mengambil kira kerjasama keluarga tertuduh dengan pihak polis sejak hari kejadian.
Beliau berkata, bapa tertuduh, yang berusia 55 tahun dan sudah menjalankan perniagaan selama 26 tahun, dicadangkan sebagai penjamin.
Majistret Aliaa kemudian membenarkan Raeven diikat jamin RM36,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung mulai hari ini sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk penyerahan dokumen pada 19 November ini.
Pada prosiding hari ini, ahli keluarga mangsa turut hadir ke mahkamah bersama peguam pemerhati, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan