Harapandaily
Seramai 29 lelaki ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penggunaan TikTok untuk mempromosikan dan menyebarkan dakyah berkaitan pertubuhan yang diwartakan haram oleh kerajaan.
Operasi Mega TikTok 2026 itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 10 hingga 12 Oktober lalu.
Pengarah JSJ, Datuk M. Kumar a/l S. Muthuvelu berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 18 hingga 49 tahun.
Operasi itu membabitkan 11 kontinjen, iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan media PDRM bertarikh 14 Oktober, kes berkenaan disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 47 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan berkaitan kemasukan atau keberadaan di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
PDRM memaklumkan semua tangkapan ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti peranan setiap suspek dalam kumpulan berkenaan serta kemungkinan penglibatan mereka dalam aktiviti jenayah lain.
Dalam kenyataan sama, Kumar menegaskan PDRM akan meneruskan operasi pencegahan dan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan jenayah terancang.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja berkongsi rakaman video yang berpotensi menimbulkan kegusaran awam.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah terancang kepada polis melalui saluran rasmi atau balai polis berhampiran.
PDRM menggesa masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan