"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RUU355: 'Selesailah sandiwara Pas ditipu'

ARIF ATAN
Salahuddin  menerima borang penubuhan sembilan Cawangan Amanah di Dun Pasir Tumboh kelmarin sambil disaksikan Datuk Husam Musa
Salahuddin menerima borang penubuhan sembilan Cawangan Amanah di Dun Pasir Tumboh kelmarin sambil disaksikan Datuk Husam Musa
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan BN akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) 355 sebagai pengakhiran 'sandiwara' Pas dibohongi.

Menurutnya, isu berkaitan pelaksanaan undang-Undang jenayah Syariah atau hukum hudud di Kelantan telah dibincangkan dalam mesyuarat Pas Pusat sejak beberapa tahun lalu ketika beliau dan beberapa pimpinan lain masih berada dalam Pas.

Satu jawatankuasa melibatkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kelantan, jelasnya, diputuskan dengan masing-masing dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

"Sebenarnya, selesailah sebuah sandiwara Pas ditipu bila dengan tiba-tiba Zahid mengumumkan kerajaanlah yang akan membawa Rang Undang-undang 355.

"Saya bertanggungjawab dunia sampai akhirat untuk saya beritahu rakyat pada malam ini (kelmarin). Kita bincang isu ini tahun 2013, 2014, 2015 sebelum kami mengakhiri perjuangan dalam Pas setelah muktamar 2015," ujarnya dalam ceramah di Pasir Tumboh, Kelantan kelmarin.

Mengimbas situasi polemik hukum hudud itu, beliau menceritakan bagaimana Ketua Biro Undang-undang Amanah, Hanipa Maidin yang ketika itu Ahli Jawatankuasa Pas tegas supaya hal tersebut bukan sekadar mainan politik.

"Peguam Hanipa berhujah dalam mesuarat Pas pusat - 'Kita ini betul ke nak sungguh buat hudud atau main politik? Ini diminitkan dalam mesyuarat.

"Kalau sungguh supaya dapat buat untuk Kelantan ia mesti dibawa kerajaan yang memerintah. Maka, parti putuskan ditubuhkan jawatankuasa dua pihak - kerajaan pusat dan negeri.

"Bila kerajaan bawa rang undang-undang maka dia akan pastikan parti-parti dalam BN sokong rang undang-undang itu. Kalau kita bawa atas nama usul persendirian belum tentu (dapat)," jelasnya dalam program sempena penubuhan sembilan Cawangan Amanah di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Tumboh itu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, Jamil Khir kemudiannya meminta Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula membentangkan pindaan Akta 355 sebagai usul persendirian.

"Dia (Jamil Khir) kata Paslah bawa sebab kalau kami (kerajaan BN) bawa susah, kami kena mengadap raja-raja Melayu dulu.

"Rang undang-undang ini bukan boleh bual di kedai kopi, cakap tengah padang. Ada peraturan-peraturannya. Umno sendiri kena mengadap raja-raja Melayu kerana hal agama di bawah raja-raja Melayu.

"Kalaulah Umno susah nak bawa, adakah (Ahli Parlimen) Marang logik bawa (rang) undang-undang itu? Memang Umno mengenakan Pas, memecahkan Pakatan Rakyat. Hudud pun tidak boleh buat lagi.

"Berpanjanganlah (polemik) sedangkan dalam mesyuarat (Pas Pusat) sudah bincang pilih sama ada mahu jalan yang cerah atau berbelit-belit," tegas Salahuddin.

Mengulas lanjut, bekas Naib Presiden Pas itu berpendapat Umno sebenarnya tidak memerlukan Pas jika parti itu benar-benar mahu melaksanakan hudud.

"Alwi (Adun BN Kok Lanas) menangis (menyokong hudud) dalam dewan (sidang Dun Kelantan pada 18 Mac 2015). Orang Pas teruja tengok betapa ikhlasnya Umno menangis. Inilah masa Umno bersama Pas.

"Padahal, Umno nak buat hudud tidak perlu Pas. Kenapa Umno tidak menangis di Terengganu, Johor? Melainkan Umno gunakan Pas untuk kepentingan dia.

"Kita (Pembangkang) akhirnya berpecah belah. Rakyat jadi keliru dan Pas jadi parti paling tidak boleh dipercayai," tambah Salahuddin lagi.

Turut hadir dalam ceramah anjuran Amanah di Kampung Seribong, Pasir Tumboh itu Adun Salor merangkap Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa; Bekas Adun Salor, Rusli Ibrahim; Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Sukirman Mustafa dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM merangkap Ketua PPBM Bahagian Tumpat, Datuk Nordin Salleh.

Abah tidak halang saya sertai Amanah, kata anak Adun Pas Kedah

SURYA PUTRA TAULAN
Turut kelihatan dalam poster, Faiq, anak bekas menteri besar Kedah dari Pas, Tan Sri Azizan Abdul Razak
Turut kelihatan dalam poster, Faiq, anak bekas menteri besar Kedah dari Pas, Tan Sri Azizan Abdul Razak
Malam kelmarin sepatutnya saya hadir ke satu Program Parti Amanah Negara di Pendang Kedah. Tetapi oleh kerana terdapat urusan yang tidak dapat dielakkan saya tidak dapat hadir dan mohon maaf kepada pihak penganjur.

Ramai yang bertanya, dah lama ka masuk Parti Amanah? Jawapannya dah lebih satu tahun. Saya mengisi borang untuk menyertai parti ini pada program 100 Peguam bersama Parti Amanah Negara. Dan untuk makluman ini adalah parti pertama yang saya sertai... Saya tidak pernah menjadi ahli kepada parti Pas.

Saya memilih parti Amanah kerana saya tertarik dengan konsep rahmatan lil 'alamin iaitu Islam sebagai rahmat ke seluruh alam. Kita seringkali melihat bagaimana nilai-nilai Islam semakin hilang dalam diri kita. Kita boleh di lihat di negara Barat bagaimana mereka menjaga kebersihan, keadilan, akhlak, amanah, accountability dan membantu rakyat mereka. Saya berharap Malaysia baru seperti itu.

Baru-baru ini oleh kerana gambar poster program tersebut telah beredar ada yang komen ditujukan kepada kami dengan kata-kata "Iman tak dapat diwarisi", Contoh anak Nabi Noh dan sebagainya. Pertamanya saya sedikit pun tidak terkesan dengan kata-kata tersebut kerana saya yakin keimanan tidak ditentukan dengan parti politik. Lagipun Abah saya dah memberikan saya ilmu agama dan pendidikan yang cukup. Saya faham parti politik hanyalah satu wadah.

Saya juga rasa tiada keperluan untuk membalas komen-komen tersebut kerana kebanyakan dari mereka saya lihat hanyalah berumur belasan tahun dan kebanyakkan mereka hanya boleh melabel atau sebagai tukang "chop".

Saya cuma mahu perbalahan oleh kerana perbezaan parti politik dihentikan. Kita tidak perlu emosional. Pertandingan antara parti-parti adalah pertandingan idea dan pertandingan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Saya yakin anda ada hujah untuk memilih parti apa pun. Abah tidak pernah untuk menghalang saya menyertai Parti Amanah Negara kerana dia tahu saya ada alasan saya sendiri.

Semua kita adalah saudara. Ketua Pemuda Pas Pendang itu pun adalah pangkat anak saudara saya. Ketua Pemuda Umno Pendang pun adalah sahabat karib saya. Jadi buatlah pilihan sendiri. Jangan biarkan orang lain menentukan pilihan kita. Gunakan akal yang diberikan Allah untuk membuat pertimbangan.

Terjun sungai penuh buaya kerana gadis


Hanya kerana ingin menarik perhatian teman wanita, De Paauw terjun ke dalam sungai dipenuhi buaya - Foto Huffington Post
QUEENSLAND - AUSTRALIA. Lelaki selalunya sanggup membuat satu keputusan yang berani dan pelik untuk membuktikan kepada wanita, namun biasanya ia tidak melibatkan reptilia gergasi, lapor Huffington Post.

Seorang ‘backpacker’ warga Australia, Lee De Paauw menceritakan saat cemasnya apabila dia mengambil keputusan untuk terjun ke dalam sungai dipenuhi buaya kerana ingin menarik perhatian wanita yang disukainya.

“Ketika itu (terjun) saya dapat rasa inilah penghujungnya, saya menumbuk buaya itu di muncungnya. Kali kedua saya menumbuk, kena tepat pada matanya dan kemudian barulah reptilia itu melepaskan gigitan,” katanya kepada 9news Australia.

Sementara itu, wanita yang ingin dipikat remaja lelaki itu, Sophie Patterson turut berkongsi detik cemas apabila melihat De Paauw terjun ke dalam sungai.

“Semuanya berlaku sangat pantas, sebaik sahaja dia terjun saya dengar percikan air dan jeritan. Saat dia berjaya keluar dari sungai itu, seolah-olah baru lepas menonton filem ‘Jaws’.

“Ada banyak darah serta tulang juga kelihatan. Ia sangat menakutkan,” katanya.

Bagaimanapun, usaha De Paauw tersebut berjaya apabila dia menjadi teman lelaki kepada Patterson.

“Sophie seorang yang penyayang dan baik hati.

"Sebenarnya, saya tidak tahu pun ada buaya di dalam sungai itu, terjunan itu dibuat semata-mata demi dia,” katanya lagi.
-sinarharian