"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohsin Abdullah: Tolong Palestin-macam mana lagi?

Mohsin Abdullah

Kita dah doa, kita dah solat hajat. Itu kita si umat Islam Jangan lupa rakan penganut agama lain. Mereka turut doa mengikut cara sendiri. Dan bersama sudah kita berdemonstrasi dan memprotes tindakan liar dan buas Israel di Gaza. Apa lagi yang sudah kita buat? Kita “highlight” kekejaman tentera Israel serta kesengsaraan dan penderitaan rakyat Palestin. Kita menitis air mata. Berbakul-bakul Benjamin Netanyahu dan konconya kita maki. Tercetus kerana kemarahan. Kita beri sumbangan untuk tabung kemanusiaan.

Apa lagi? Angkat senjata dan berperang di Palestin? Jangan. Jangan juga kerahkan tentera. Bukan itu yang rakyat Palestin tuntut daripada kita. Itu kata wakil Hamas sendiri. Muslim Imran, ahli Biro Antarabangsa Hamas di Asia dipetik Malaysiakini berkata “saya tak mahu anda hantar tentera anda untuk berjuang di Palestin. Orang Palestin tidak minta sesiapa berbuat demikian.” Pada hemat saya bukan mereka sombong mahu pun bongkak dan memperkecil kemampuan orang lain. Cuma tidak mahu membebankan pihak luar.

Banyak lagi telah dan sedang kita lakukan. Itu kita si rakyat biasa. Kerajaan pula bagaimana? Suka atau tidak diakui sama ada kerajaan masa lalu juga kerajaan yang ada kini, banyak dilakukan mengenai konflik di bumi Palestin. Dan kerajaan sekarang sudah mengambil pelbagai inisiatif sebaik Israel lancar perang di Gaza dan meneruskan usaha demi sokong “the Palestinian cause”. Ini semua kita tahu.

Namun, ada juga pihak yang pastinya antikerajaan, antiperdana menteri melempar pelbagai tuduhan dengan menggunakan video ketika Muslim Imran si wakil Hamas menyertai wawancara podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan “sidekicknya” Shahril Hamdan. Mungkin golongan yang melempar tuduhan tidak harus dipersalahkan 100%. Bagi saya golongan berkenaan “bijak” mengambil kesempatan terhadap apa yang Muslim sajikan. Dan jika diikuti sekilas lalu, Muslim seolah-olah menzahirkan rasa tidak puas hati terutama terhadap Anwar Ibrahim yang dibayangkan tidak membantu. Tentulah bagi sesiapa yang tidak sukakan Anwar ini peluang keemasan. Bodohlah jika dibiar begitu sahaja.

Semasa seorang kawan lama menghantar kepada saya video berkenaan (yang lengkap dengan kapsyen anti-Anwar) saya bingung. Sebab? Kerajaan sudah mengambil bermacam langkah dalam menyatakan sokongan terhadap Palestin. Ini berdasarkan fakta.

Umpamanya Malaysia menggesa konflik Palestin–Isreal di Gaza serta tindakan menyahkan hak dan tanah Palestin dihentikan segera. Malaysia menerusi Menteri Luar Zambry Abdul Kadir menggesa masyarakat antarabangsa menyokong pembukaan laluan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Kenyataan negara disampaikan pada mesyuarat luar biasa tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam atau OIC peringkat menteri luar di Jeddah. Mesyuarat itu turut menerima pakai dokumen yang mengutuk keras pencerobohan Israel ke atas Palestin dan menggesa ia dihentikan serta-merta juga pengepungan ke atas Semenanjung Gaza oleh Israel dihentikan.

Anwar pula ketika berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang Asean di Kuala Lumpur antara lain menegaskan Malaysia akan menggunakan segala usaha diplomatik dalam kerjasama regara rakan bagi menghalang pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza.

Di Riyadh sehari kemudian, Anwar dilapor berkata ketegasan Malaysia memperjuangkan isu kekejaman Israel bukan untuk menjadi wira dunia. Sebaliknya dibuat atas dasar kemanusiaan dan membela khususnya umat Islam.

Terdahulu, semasa masih di tanah air perdana menteri mengumumkan kutipan tabung bantu rakyat Palestin dikendalikan Kementerian Luar sudah menghampiri sasaran RM100 juta.

Adakah wakil Hamas tidak berpuas hati? Lebih membingungkan apabila menyuarakan harapan agar Anwar “sekurang-kurangnya menelefon Ismail Haniyeh atau (presiden Palestin) Mahmoud Abbas”. Saya tidak tahu pasal Mahmoud tetapi pada 17 Okt Anwar berbincang menerusi telefon dengan Ismail yang merupakan ketua Biro Politik Hamas mengenai keadaan di Gaza dan menyatakan sokongan “tidak berbelah bahagi” Malaysia terhadap Palestin. Mungkin Muslim semasa membuat gesaan tidak sedar Anwar sudah berbincang dengan ketuanya.

Beberapa hari sebelum itu Anwar mengadakan perbincangan juga melalui perbualan telefon mengenai perkembangan di Gaza dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Apa pun beberapa hari lalu Muslim tampil untuk memberi penjelasan. Katanya kenyataannya diambil di luar konteks dan dipolitikkan. “Saya hanya menyatakan jangkaan saya terhadap Malaysia dan kerajaan serta pemimpinnya. Saya tidak pernah bermaksud untuk memperkecilkan usaha Anwar atau kerajaannya,” kata Muslim yang seterusnya memuji komitmen Anwar. Oh ya… Muslim juga mengakui Anwar ada “bercakap dengan kepimpinan Hamas dan menyatakan solidariti dengan Palestin”.

Namun, pada pandangan saya mungkin Malaysia boleh melakukan lebih lagi dalam isu konflik Palestin-Israel. Mungkin Anwar dengan sokongan OIC boleh menjadi “negotiator” seperti apa yang Presiden Indonesia Joko Widodo lakukan tidak lama dahulu berhubung perang Rusia-Ukraine. Anwar ada “credential” untuk berbuat demikian. Mungkin PAS yang dikatakan ada “connection” dengan pihak di Timur Tengah boleh membantu.

Berbalik kepada kita si rakyat jelata. Teruskan lakukan apa yang sedang dilakukan. Dengan tenang dan berhemat. Jangan dibuat perkara bukan-bukan. Seperti apa dilakukan terhadap Nurul Ain wanita Malaysia yang terkandas di Gaza bersama suaminya warga Palestin.

Menurut Malay Mail, beliau kerap mendapat panggilan telefon daripada warga Malaysia yang “tidak sensitif” yang mahu dengar dentuman bom. Nurul Ain merayu perbuatan itu dihentikan.

Banyak lagi yang bukan-bukan. Antaranya membabitkan rangkaian makanan segera McDonald’s. Mesti diingat McD Israel yang memberi makanan percuma kepada tentera Israel tidak sama dengan McD Malaysia.

Ada “posting” di Facebook yang harus diperhati berbunyi: “Kita kutuk Israel. Kita doa Allah laknat depa. Tapi jangan pula pi maki budak-budak kerja McD jerkah depa suruh berhenti kerja.

“Jangan merapu, kalau depa berhenti kerja hampa nak bagi depa makan ka? Lawan la dengan cara yang betul.”

Hadi penghalang hasrat PAS raih sokongan bukan Muslim

Naveen Prabu

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat penghalang utama dalam usaha parti itu mendapatkan sokongan pengundi bukan Muslim, kata penganalisis politik.

Kecenderungan Hadi sering mengubah pendirian dalam pelbagai isu menjadi kekangan, kata penganalisis Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya.

“Kesannya, pengundi secara konsisten menganggap PAS tidak konsisten,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PAS mungkin beralih lebih sederhana jika Hadi tidak lagi menjadi presiden. “Mungkin ia akan menjadi era di mana PAS berhenti menjadikan bukan Muslim sebagai sasaran. Halangan terbesar ketika ini adalah Hadi,” katanya.

Beliau berkata, PAS patut berhenti menjadikan bukan Muslim sebagai musuh politik, sebagai mengulas kenyataan bekas ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang terkilan kerana PAS masih belum berjaya menjernihkan persepsi bukan Islam dan bukan Melayu.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Hadi berkata PAS mesti menumpukan mendapatkan sokongan bukan Melayu dan bukan Muslim menjelang PRU16, selewat-lewatnya 2027.

Awang Azman berkata, ahli PAS perlu melakukan perubahan minda. “Penting bagi mengiktiraf Malaysia ini adalah negara majmuk, kepelbagaian kaum yang memerlukan kerjasama, berbanding hanya bergantung kepada sentimen agama dan kaum bagi mendapat sokongan politik,” katanya.

Seorang penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata PAS perlu mengiktiraf keperluan mendapatkan sokongan bukan Melayu selepas sedar sokongan Melayu semata tidak mencukupi untuk parti itu membentuk kerajaan pusat.

“PAS kena berubah dan tidak boleh terlalu ekstrem. Jika tidak, anda mungkin dapat menguasai Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis namun melangkaui semua itu, sukar menjadi kerajaan kerajaan di pusat walaupun dengan sokongan Bersatu dan Gerakan,” katanya.

James Chin dari University of Tasmania, berkata PAS berdepan kesulitan meraih sokongan bukan Muslim “tidak kira apa dilakukan” kerana nama partinya “Parti Islam Se-Malaysia” jelas menunjukkan objektif utama adalah menubuhkan negara Islam.

“Tiada persamaan yang membolehkan PAS menarik dan meraih sokongan bukan Muslim. Kepercayaan teras PAS menjadi kekangan,” katanya.

Israel isytihar bunuh penduduk utara Gaza enggan berpindah

Sinar Harian

TEL AVIV: Israel pada Sabtu mengisytiharkan bahawa sesiapa yang memilih untuk tinggal di utara Genting Gaza dan tidak pergi ke selatan di bawah arahan pemindahan sebelum ini akan dianggap sebagai sekutu 'pengganas' dan boleh dibunuh.

Pesawat Israel menurunkan risalah 'amaran segera' ke dalam kawasan yang dikepung, menggesa rakyat Palestin di utara Gaza untuk bergerak ke selatan.

“Kepada penduduk Gaza. Berada di utara Lembah Gaza meletakkan nyawa anda dalam bahaya. Sesiapa yang tidak pergi ke selatan Lembah Gaza dan memilih untuk tidak tinggal di kawasan utara boleh dibunuh sebagai sekutu organisasi pengganas," menurut risalah itu.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee mengesahkan bahawa kenyataan yang ditulis pada risalah itu adalah milik tentera Israel.

Sebelum itu, tentera Israel mengarahkan pemindahan segera Hospital Al-Quds sebagai persediaan untuk pengeboman.

Sebanyak 20 hospital di utara Gaza turut diarah berpindah pada hari Sabtu.

Konflik di Gaza, di bawah pengeboman dan sekatan Israel sejak 7 Oktober lalu bermula apabila Hamas memulakan Operasi Taufan al-Aqsa, serangan mengejut termasuk pelancaran bertubi-tubi roket serta penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata, Operasi Taufan al-Aqsa sebagai tindak balas terhadap penyerbuan Masjid al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka Israel.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Genting Gaza.

Gaza ketika ini sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk, tanpa bekalan elektrik, manakala bekalan air, makanan, bahan api dan kehabisan ubat-ubatan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres telah menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera untuk mengurangkan 'penderitaan manusia yang epik.'

Sekurang-kurangnya 4,385 rakyat Palestin, termasuk 1,756 kanak-kanak dan 1,000 wanita telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza setakat ini. - Agensi/Sinar Harian