"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut, isteri dan anak parah motosikal hilang kawalan dikejar anjing

Bernama

Seorang penunggang motosikal maut manakala isteri dan bayinya parah apabila motosikal mereka merempuh sebuah lori selepas dikejar seekor anjing di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap di Kluang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan berlaku pada 7.30 malam semasa pasangan suami isteri berusia 28 tahun dan bayi lelaki setahun itu dalam perjalanan dari arah Tasik Machap ke kawasan perumahan.

“Motosikal jenis Benelli TNT300 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan apabila dikejar anjing dan telah masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang diletakkan di kanan bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata isteri dan anak mangsa cedera parah pada kepala dan dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di Kluang.

Beliau berkata ujian air kencing pemandu lori berusia 42 tahun negatif dadah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Bernama

Kereta buatan Jerman adalah kenderaan yang jadi pilihan perompak diguna ketika merompak

10 KERETA POPULAR UNTUK ROMPAK BANK
Mohd Farhan Alias

Dalam kes rompakan baru-baru ini yang berlaku pada malam krismas di Jerman, salah satu pemerhatian penulis ialah jentera yang digunakan oleh geng perompak tersebut. Salah satu jentera yang digunakan ialah Audi RS6 dan sebuah van yang dipercayai sebagai model Mercedes Vito

Hasil carian penulis mengenai trend rompakan yang berlaku di seluruh dunia, terdapat beberapa model yang kita anggap sebagai biasa namun menjadi kegemaran para perompak ini. Dalam dunia jenayah, pemilihan kereta untuk rompakan bukan soal “fancy” semata-mata.

Ia adalah soal teknikal, praktikal, dan peluang untuk melarikan diri dengan selamat. Dari laporan polis dan media automotif global, terdapat beberapa model yang sering muncul dalam kes rompakan bank besar, dari Eropah hingga Amerika. Mari kita lihat 10 kereta paling popular yang digunakan oleh perompak profesional.

1. Audi RS6 Avant – Audi RS6 Avant adalah raja bagi melarikan diri untuk benua Eropah. Dengan sistem Quattro AWD, kuasa lebih 600 hp, dan ruang muatan luas, ia membolehkan perompak membawa rampasan besar sambil mengekalkan kelajuan tinggi. Apa yang paling penting, RS6 kelihatan seperti kereta keluarga biasa, menjadikannya sukar dikesan dalam lautan pengguna

2. BMW M5 – BMW M5 adalah sedan sleeper yang berbahaya. Dengan kombinasi kuasa enjin yang tinggi, pengendalian lincar, kelajuan tinggi dan kestabilan, ia menjadi pilihan utama untuk rompakan berskala profesional. Ramai perompak memilih M5 kerana ia bukan kereta yang terlalu menonjol, tetapi mampu melarikan diri dari polis dengan pantas.

3. Mercedes-AMG E63 – menawarkan gabungan kuasa dan prestij. Tork yang besar dan suspensi yang stabil membuatnya sesuai untuk pemanduan agresif dalam situasi cemas. Banyak kes rompakan besar menggunakan E63 kerana ia selesa untuk pasukan perompak dan senyap semasa melarikan diri dari polis.

4. Audi S8 / A8 – Model S8 atau A8 V8 digunakan kerana ia lebih nampak normal berbanding RS6. Dengan rupa elegan dan prestasi tinggi, perompak boleh menyelinap dalam trafik tanpa menimbulkan curiga kepada pihak berkuasa. Ia pilihan bijak bagi mereka yang mahukan kelajuan tanpa menonjolkan diri.

5. BMW X5 / X6 (termasuk versi M) – SUV berprestasi tinggi seperti X5 M atau X6 M sangat sesuai untuk kawasan bandar dan luar bandar. Mereka mudah menakluk jalan sukar atau off-road sambil membawa muatan berat. Banyak kes di Eropah Barat melaporkan perompak menggunakan SUV ini kerana praktikal dan lasak ketika melalui jalan offroad

6. Toyota Land Cruiser / Prado – SUV legenda ini popular di Afrika, Timur Tengah, dan Asia. Walaupun tidak laju, ketahanan Land Cruiser membuatnya susah untuk ditangkap di kawasan off-road atau jalan tidak rata. Ia membuktikan bahawa kadang-kadang, survivability lebih penting daripada kelajuan.

7. Mercedes-Benz Sprinter / Vito – Bagi rompakan berskala besar yang melibatkan van duit atau ATM, Sprinter dan Vito adalah pilihan profesional. Ia mampu memuatkan sepasukan penuh beserta peralatan dan rampasan. Tidak ada kereta lain yang mampu gabungkan ruang, kuasa & praktikaliti dalam kes ini.

8. Subaru WRX STI – WRX STI ialah kereta kompak AWD yang laju dan mudah dikawal. Popular di Jepun, Australia, dan Amerika, ia sesuai untuk “smash & grab” atau rompakan cepat di bandar. Ia sangat ringan, lincah, dan mampu mebgekalkan kelajuan tinggi dalam jalan sempit.

9. Volkswagen Golf R / GTI – menawarkan kombinasi kelajuan, kelihatan normal, dan kemudahan menyelit trafik bandar. Ia bukan kereta yang terlalu menonjol, tetapi cukup laju untuk melarikan diri dari polis dalam jarak pendek. Banyak rompakan kecil dilaporkan menggunakan model ini.

10. Ford Mustang / Dodge Charger – Model ikonik Amerika ini popular dalam kes rompakan kecil hingga sederhana di AS. Kuasa enjin besar dan harga mampu milik menjadikannya pilihan ideal untuk mereka yang mahu kelajuan tanpa kos tinggi. Ia sering muncul dalam laporan media sebagai “classic getaway car” versi Amerika.

Kenapa Supercar Jarang Digunakan
Walaupun supercar seperti Ferrari, Lamborghini, atau McLaren nampak menarik, model ini jarang digunakan dalam rompakan sebenar. Alasannya ialah model ini terlalu menonjol. Polis dan orang awam mudah mengenali supercar ini.

Selain itu, supercar biasanya tidak praktikal disebabkan ruang simpanan kecil, pengendalian susah dalam trafik bandar, dan penyelenggaraan mahal. Jadi walaupun kelajuan tinggi, risiko ditangkap jauh lebih besar daripada keuntungan.

Ustaz Wan Ji keluar PKR untuk 'kurangkan musuh'

Malaysiakini 

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin hari ini mengesahkan telah menghantar surat rasmi untuk keluar daripada PKR pada 1 Januari lalu.

Wan Ji berkata tindakannya itu dibuat bagi "mengurangkan musuh".

“Ada kawan-kawan dalam PKR menghantar mesej pagi ini untuk minta pengesahan. Saya jawab bahawa saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa dan mahu menjauhkan diri daripada parti dengan cara yang baik.

“Umur semakin meningkat dan saya perlu berfikir untuk mengurangkan musuh.

“Sebab itu saya membuat permohonan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ji berkata keputusannya itu dibuat atas pertimbangan peribadi dan bukan kerana sebarang konflik khusus dengan individu atau kepimpinan parti.

“Saya berharap hidup saya selepas ini semakin jauh daripada kesusahan.

“Sepanjang menjadi ahli PKR, ramai orang yang bukan daripada PKR tidak mahu berkawan,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Ji tidak menyatakan sebarang perancangan lanjut selepas keputusannya meninggalkan PKR.

Wan Ji menyertai PKR pada 2015 dan pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pada 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadapnya kerana mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.