"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Wanita jadian’ berjoget, cemari majlis selawat

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan lelaki yang menyamar jadi wanita itu berjoget di sebuah majlis selawat baru-baru ini. - TikTok
JAKARTA – Sebuah majlis selawat di Lamongan, wilayah Jawa Timur menerima kecaman orang ramai kerana menjemput seorang lelaki yang menyamar sebagai wanita untuk berjoget dan menyanyi lagu dangdut, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Kampung Bedingin, daerah Sugio baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @callmehoney081 menunjukkan lelaki itu menyanyi sambil melakukan tarian pelik di khalayak ramai dengan berlatarbelakangkan sepanduk bertulis Gebyar Selawat. 

Selain memakai pakaian seksi, dia turut berjoget di hadapan keluarga dan kanak-kanak. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 212,000 dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Tidak terkejut,” kata seorang netizen. 

“Saya yang malu tengok,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Warga China dicekup masuk Malaysia guna

MOHD SHARKAWI LONDING
EMPAT warga China ditahan selepas disyaki menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara ini. IHSAN IMIGRESEN
JOHOR BAHRU – Taktik licik seorang lelaki warga China menggunakan pasport Mexico palsu untuk memasuki negara ini terbongkar selepas dia ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor di sebuah pangsapuri mewah di Bayu Puteri, di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira 31 Mac lalu itu, lelaki berusia lingkungan 40-an tersebut ditahan bersama tiga lagi rakan senegaranya terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 43 hingga 57 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, siasatan awal mendapati suspek utama menggunakan pasport antarabangsa Mexico palsu sebagai dokumen perjalanan untuk memasuki dan tinggal di negara ini.

“Hasil penggeledahan di premis berkenaan turut menemui sebanyak 13 naskhah pasport antarabangsa pelbagai negara yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pemalsuan dokumen.

“Pasport yang dirampas melibatkan beberapa negara termasuk Hong Kong, China dan Vietnam yang dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek dipercayai bekerja di sebuah pusat rekreasi yang masih dalam pembinaan di kawasan kelab golf sekitar Johor Bahru.

Katanya, pihak imigresen tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan antarabangsa yang aktif beroperasi di negeri ini.

Kesemua individu yang ditahan kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE

Guna berus bulu babi, sijil halal kilang kopi, biskut ditarik

Farhana Yaacob

MELAKA: Sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini kehilangan sijil halal selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, berus berkenaan disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk pengesahan lanjut.

Menurutnya, keputusan analisis yang diterima pada Mac mengesahkan berus itu mempunyai ciri fizikal bulu babi.

“Susulan itu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik kilang berkenaan ditarik serta-merta.

“Kilang itu telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan ketidaktahuan yang diberikan pihak premis tidak boleh dijadikan justifikasi.

Katanya, pemegang sijil halal perlu sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian halal yang ditetapkan, tanpa kompromi dalam mana-mana aspek operasi.

“JAIM akan terus memperhebat pemantauan terhadap premis yang memiliki sijil halal bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap status halal produk di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai khususnya umat Islam disaran agar lebih berhati-hati dalam membuat pilihan makanan dengan mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal, demi memastikan ia memenuhi tuntutan syarak serta standard kebersihan yang ditetapkan.