"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video Kanak-Kanak Berusia Dua Tahun Dipukul, Ditendang Dan Pijak Oleh Pengasuh


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dibaling ke lantai sebelum dipukul, dipijak dan ditendang oleh pengasuhnya.

Bagaimana pun tindakan Jolly Tumuhiirwe,22, yang menyiksa Aneela Kamanzi kerana muntah selepas makan malam dirakam melalui kamera tersembunyi di ruang tamu rumah keluarga Kamanzi.

Sebelum itu, rakaman turut memaparkan Tumuhiirwe memukul muka Aneela ketika menyuap makanan.

Bapa Aneela, Erick Kamanzi melihat rakaman itu selepas mendapati kesan lebam di badan anaknya.

Berang dengan kelakuan Tumuhiirwe itu, lelaki tersebut memukulnya sehingga mendatangkan kecederaan serius.

Pengasuh itu membuat laporan polis menyebabkan Kamanzi ditahan.

Namun selepas dia menunjukkan rakaman penderaan itu kepada polis, tuduhan terhadap Kamanzi yang bekerja di sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Kampala digugurkan.

Tumuhiirwe yang bekerja di rumah itu lebih kurang tiga bulan ditahan dan didakwa di bawah Akta Anti-Keseksaan Uganda di Mahkamah Nakawa pada 8 Disember ini.

Dia kini dikatakan terpaksa menggunakan kerusi roda dan mengguna saluran tiub untuk makan.

Pihak polis juga turut mendakwa Tumuhiirwe dengan percubaan membunuh.

Laporan mendedahkan Aneela telah meninggal dunia pada 15 November lalu, namun pihak penyiasat menafikannya dan memberitahu kanak-kanak itu sedang menjalani rawatan.
-mstar-

Sanggup bersabung nyawa kerana kerang emas?

Sekumpulan budak lelaki menunjukkan kerang yang berjaya dikutip mereka
Sekumpulan budak lelaki menunjukkan kerang yang berjaya dikutip mereka
MARANG - Sanggup bersabung nyawa kerana kerang!

Demikian keadaan di Pantai Rusila, Rhu Dua, Pulau Kekabu dan terbaru di Rhu Rendang apabila orang ramai masih memenuhi kawasan pantai tersebut untuk mengutip kerang.

Walaupun pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran dan larangan agar kawasan pantai ditutup untuk sebarang aktiviti kerana keadaan cuaca dan laut berbahaya, namun arahan itu tidak diendahkan.

Malah, kejadian nyaris lemas ketika mengutip kerang yang dilaporkan media seolah-olah tidak memberi iktibar. Itu belum termasuk dakwaan penduduk yang mengatakan sejak fenomena kerang melanda pantai di Marang, Jumaat lalu, sudah lebih 10 mangsa nyaris menjadi korban.

Kebanyakan mangsa yang nyaris lemas itu dikatakan tidak dibawa ke hospital, sebaliknya pulang ke rumah masing-masing selepas berjaya diselamatkan orang awam.

Dakwaan jumpa emas

Difahamkan, banyak pihak begitu berminat untuk mengutip kerang bukan kerana ingin menikmati kerang rebus atau kerang bakar, tetapi untuk memperoleh ‘harta karun’ yang dikatakan tersimpan di dalam perut kerang tersebut.

Gambar kerang berisi emas yang didakwa ditemui di Pantai Rusila tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, dan laman sosial Facebook baru-baru ini telah menjadi tarikan baharu kepada orang ramai untuk ke pantai mencari hidupan tersebut.

Tidak kurang yang menyimpan hasrat untuk ‘mendulang’ kerang berisi emas yang sehingga kini tidak diketahui sejauh mana kebenarannya.

Senario itu menimbulkan kebimbangan kerana situasi boleh bertukar menjadi malapetaka, tambahan cuaca panas sejak Jumaat lalu mulai berakhir apabila sesetengah kawasan di negeri ini kembali dilanda hujan sejak awal pagi semalam.

Bekas Pengerusi Masjid Rusila, Omar Mohamad yang tinggal berhampiran Pantai Rusila turut melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan pengunjung berikutan kejadian nyaris lemas itu semakin meningkat dan dikhuatiri akan meragut nyawa.

Tidak mahu ada yang menjadi korban, ahli jawatankuasa Pas Cawangan Rhu Dua turut mengambil langkah awal dengan menyediakan kelengkapan pelampung dan tali untuk menyelamatkan mangsa yang dibawa arus ombak.

Jauhi kawasan berbahaya

Sementara itu, seorang pengunjung, Abdullah Mohd Rani, 46, dari Rhu Renggeh berkata, dia dan keluarga tetap datang ke pantai berkenaan untuk mengutip kerang, namun tetap mengutamakan keselamatan dan tidak pergi jauh ke kawasan berbahaya.

Seorang lagi pengunjung, Halimah Sulaiman, 42, berkata, kehadirannya dan keluarga di pantai itu hanya untuk melihat orang ramai sambil menunggu sekiranya ada pihak ingin menjual kerang dikutip yang dijual pada harga RM5 bagi setiap tiga kilogram.

“Saya juga berpesan kepada ahli keluarga lain terutamanya anak-anak agar mereka tidak pergi jauh dari pantai.

"Biasanya yang memperoleh kerang banyak adalah penduduk setempat kerana mereka tahu di mana kawasan tidak merbahaya dan kawasan pantai curam,” katanya.

Kebesaran ALLAH SWT

Bagi Ketua Pemuda Pas Marang, Muhammad Khalil Abdul Hadi, fenomena kerang ‘mendarat’ di Pantai Rusila adalah tanda kebesaran ALLAH SWT dan keluasan rahmat-Nya.

"Sudah tentu ia adalah satu kurniaan daripada ALLAH kepada hamba-Nya yang taat akan perintah-Nya sebagaimana firman-Nya: Jika sekiranya penduduk bandar/kampung itu beriman dan bertakwa nescaya kami akan buka baginya rezeki daripada langit dan bumi “Al-A’raaf: 96",” katanya.

Beliau berkata, ia juga mungkin satu peringatan daripada ALLAH supaya manusia sedar dan bertaubat kepada-Nya.

Menurutnya, tidak mustahil apa yang berlaku adalah kesan daripada perubahan cuaca di seluruh dunia hasil daripada kerosakan yang dilakukan manusia itu sendiri.

“Dalam keseronokan mencari kerang ini, saya ingin berpesan agar pengunjung menjaga batas-batas agama seperti tidak meninggalkan solat, batas pergaulan lelaki dan perempuan dan juga aurat.

"Jangan pula rahmat yang datang bergolek itu disambut dengan mengundang kemurkaan daripada ALLAH," katanya.

Muhammad Khalil berkata, memandangkan musim tengkujuh sinonim dengan ombak besar dan arus deras, beliau juga menasihatkan pengunjung supaya menjaga keselamatan diri, keluarga dan sahabat handai agar dapat mengelak musibah.

“Akhirnya saya ingin mengajak seluruh kaum Muslimin dan Muslimat untuk sama-sama kita mensyukuri nikmat ALLAH kepada kita semua.

"Bersyukur kepada-Nya bukan sahaja dengan ucapan di mulut tetapi dengan berusaha melaksanakan segala perintah ALLAH dalam kehidupan kita,” katanya.
-sinarharian-

Lapan jalan di ibu negara guna nama baharu berkuatkuasa hari ini

Beberapa jalan utama di ibu negara akan dinamakan semula sempena nama mantan-mantan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa Rabu (esok).

Satu pekeliling daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditandatangani oleh Pengurus Perancangan Korporatnya, Dr Ismail Stapa, papan tanda yang mengandungi nama-nama baharu bagi jalan-jalan berkenaan akan mula dipasang pada 26 November.

Menurut jurucakap DBKL ketika dihubungi The Rakyat Post, penamaan semula itu melibatkan lapan batang jalan raya serta telah dimaklumkan kepada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL untuk tindakan selanjutnya.

Jalan-jalan yang dinamakan semula itu adalah:-

– Jalan Duta akan ditukar ke Jalan Tunku Abdul Halim (sepanjang 4.3km)

– Jalan Khidmat Usaha akan ditukar ke Jalan Sultan Haji Ahmad Shah (sepanjang 1.243km)


– Jalan Ipoh (dari Persimpangan Jalan Segambut hingga Persimpangan Jalan Pahang) akan ditukar ke Jalan Sultan Azlan Shah (sepanjang 2.5km)

– Persiaran Duta akan ditukar ke Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin (sepanjang 1.764km)

– Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah akan ditukar ke Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin (sepanjang 1.132km)

– Lebuhraya Mahameru akan ditukar ke Lebuhraya Sultan Iskandar (sepanjang 3.527km)

– Persiaran Mahameru akan ditukar ke Persiaran Tuanku Ja’afar (sepanjang 1.852km)

– Jalan Semarak akan ditukar ke Jalan Sultan Yahya Petra (sepanjang 1.918km)