"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Tiga beranak melecur, rumah terbakar

BERNAMA

Kota Bharu: Tiga beranak melecur dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Simpangan, Tumpat, petang tadi.

Kejadian menyebabkan wanita, Sha'Adah Muhammad, 57, melecur 80 peratus di bahagian anggota badan, anak perempuannya Nur Fariesya Syaila Mazelan, 15, melecur 10 peratus di bahagian muka manakala suaminya Mazelan Daud, 64, hanya lima peratus di bahagian tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.56 petang.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian sejauh tujuh kilometer itu kira-kira sembilan minit mendapati rumah separuh kekal berkenaan terbakar 80 peratus dan api berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini manakala punca dan anggaran kerugian sedang disiasat.

Petugas AADK cedera ditoreh suspek ketika operasi

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Seorang petugas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cedera selepas ditoreh dengan senjata pisau ketika menjalankan operasi di Bangsar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 5.08 petang.

“Seorang rakan sekerjanya telah mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan ibu jari kanan akibat ditoreh dengan senjata pisau oleh seorang individu yang ditahan semasa operasi saringan air kencing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 48 tahun itu kini ditempatkan di wad biasa Pusat Perubatan Universiti Malaya dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Koperal tentera ditahan, disyaki pukul askar hingga parah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal kerana disyaki memukul seorang askar sampai tidak sedarkkan diri hingga terpaksa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berkaitan kes pukul yang berlaku kira-kira 8 malam, Isnin lalu di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja di Bentong.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek memukul, menumbuk dan menendang askar yang berusia 24 tahun di beberapa bahagian badan.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia 19 hingga 22 tahun bersama dalam kejadian itu.

“Mangsa dilaporkan pengsan dan masih menerima rawatan di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

“Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, enam lagi mangsa dirujuk ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan jika ada sebarang kecederaan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek berusia 37 tahun semalam dan direman hingga 4 April ini bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Zaiham berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu dan menggesa orang ramai tidak buat sebarang spekulasi yang boleh ganggu siasatan.